Babak kolam renang Zul Ariffin



PELAKON Zul Ariffin mula menjalin hubungan cinta dengan Naib Presiden Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai sekitar bulan Jun 2012 selepas bekerjasama dalam filem Penanggal.

Pada tahun 2013 pula, Zul, 28, telah menyatakan kesediaannya untuk memperisterikan Gayatri, 38.




Seterusnya wanita itu juga menyatakan kesediaannya untuk memeluk Islam jika Zul melamarnya.

Biarpun, Gayatri bersedia untuk berkahwin dan memeluk Islam, sebaliknya Zul pula mengakui tidak bersedia lagi untuk menyunting kekasihnya.

Zul menjelaskan kepada Kosmo! mengenai perkara itu. Selain itu, dia juga bercerita mengenai filem terbaharu lakonannya, Panik serta keengganan dirinya untuk melebarkan sayap di Indonesia.

Kosmo!: Kenapa Zul belum bersedia untuk berkahwin, sedangkan Gayatri sudah menyatakan kesediaannya untuk memeluk agama Islam jika anda melamarnya?

ZUL: Ya, dia ada memberitahu saya jika saya sudah bersedia memperisterikannya, saya perlu memaklumkan kepadanya kerana dia mahu mempersiapkan diri untuk tukar agama. Bagaimanapun, buat masa ini saya pula yang belum bersedia untuk berkahwin. Ada banyak perkara yang mengganggu fikiran.

Apakah yang mengganggu fikiran anda sebab kebiasaannya orang akan teruja untuk berkahwin?

Memang pada awalnya saya cukup teruja untuk memperisterikannya tetapi ada kalanya perasaan itu hilang. Saya tidak mahu bila berkahwin nanti duit tidak ada. Kawan-kawan juga ada yang menyakat, jika berkahwin nanti akan diikat (dikongkong) isteri.

Bagaimanakah pula dengan kesediaan Gayatri untuk memeluk agama Islam?

Saya tiada masalah untuk membimbingnya sebagai seorang Islam. Cuma saya risau mengenai hala tuju perkahwinan saya nanti. Saya juga risau mengenai hala tuju sebagai pelakon selepas itu. Banyak perkara yang bermain di fikiran ketika ini yang membuatkan saya masih belum bersedia. Bagaimanapun, perancangan untuk berkahwin itu memang ada.

Boleh ceritakan mengenai pengalaman anda bekerjasama dengan pengarah terkenal Indonesia, Hanung Bramantyo dalam filem Panik?

Saya cukup teruja berlakon di bawah Hanung. Dia seorang pengarah berkaliber dan sangat profesional. Cara mereka bekerja lain dengan produksi di Malaysia. Produksi di sana cukup pantas dan mereka juga menepati masa, malah tenaga mereka juga dahsyat.

Berapa lama anda berada di Indonesia untuk penggambaran?

Saya berada di sana cuma empat hari. Tidak banyak babak membabitkan saya di sana. Cuma, babak dalam kolam renang dan juga babak di dalam bilik. Babak di kolam renang itu dirakamkan pada awal pagi dan saya perlu berendam dalam kolam yang sejuk itu tanpa berbaju.

Adakah anda selesa melakonkan babak dalam kolam renang itu?

Saya sebenarnya kurang selesa juga apabila diminta untuk berlakon dalam kolam renang itu. Mujur, visual cuma memaparkan saya tanpa baju sampai paras dada.

Adakah filem Panik ini merupakan platform untuk anda melebarkan sayap ke Indonesia pula selepas ini?

Sejujurnya, saya belum bersedia untuk kembangkan kerjaya saya di sana.

Jika artis lain berkeinginan untuk melebarkan sayap di negara lain, kenapa pula anda menolak?




Indonesia sangat mementingkan bahasa mereka. Cakap juga kena solid (diyakini). Persediaan kena cukup jika mahu berlakon di sana. Saya terima tawaran berlakon filem Panik ini cuma inginkan pengalaman bekerjasama dengan Hanung.

Apakah projek anda selepas filem Panik?

Saya akan ke Kemboja untuk penggambaran telefilem Lara Hadi di samping Nadia Mustapha. Saya juga akan terlibat dalam penggambaran drama berjudul Kondominium. Drama 13 episod untuk RTM itu turut dibintangi oleh Almy Nadia dan Eina Azman.

Previous Post Next Post