Black Doa Cahaya Mata Di Mekah



Juara Mentor musim ketiga, Black Hanifah baru sahaja tiba di tanah air lebih kurang jam 1 tengahari semalam sejurus selesai menunaikan ibadah umrah bersama isterinya selama 12 hari 10 malam.

Ketika dihubungi MH online, sepanjang berada di sana, Black sempat bercerita bahawa dia dan isterinya tidak lupa mendoakan agar cepat dikurniakan cahaya mata.





"Kami mengambil peluang untuk berdoa di beberapa tempat yang dikatakan mustajabnya doa seperti di Jabal Rahmah, Masjid Nabawi, berhadapan Hajaratul Aswad dan beberapa tempat lagi di tanah suci Mekah.

"Alhamdulillah, kami dapat menunaikan ibadah dengan baik dan syukur kerana diberikan kesihatan yang baik sepanajang berada di sana," ujar Black yang mengakui isterinya demam sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Berkongsi tentang peristiwa yang tidak dapat dilupakan, ujar Black, sepanjang di Tanah Suci setiap saat ada sahaja berita tentang kematian dan setiap kali tiba waktu solat akan ada jenazah yang akan disembahyangkan.

"Ada satu kejadian, ketika itu kami sedang melakukan Sai'e antara Marwah dan Safa. Tiba-tiba kami melihat seorang lelaki terbujur kaku di tepi jalan. Lelaki tersebut berselubung daripada muka sehingga ke paha. Kami cuba mendekati dan mengamati, adakah lelaki itu sedang tidur. Rupa-rupanya lelaki tersebut sudah meninggal dan mayatnya diletakkan di tepi jalan dan akan ada orang yang mengangkatnya walaupun agak lambat. Itu adalah antara kejadian yang tidak dapat kami lupakan," ujar Black yang mengakui cukup rindukan suasana di Tanah Suci sebaik sahaja pulang ke tanah air.





Previous Post Next Post