Filem Laga: Bukan sekadar laga ayam



APABILA menonton filem Laga semasa majlis pratonton baru-baru ini, ia seperti mengimbas semula tentang sebuah filem Jogho arahan U-Wei Haji Saari yang pernah ditayangkan pada tahun 1999.

Tema ceritanya sama iaitu berkisarkan tentang dunia laga yang merupakan sebahagian daripada budaya yang pernah diamalkan dalam kehidupan segelintir masyarakat, terutamanya di kampung.




Bagaimanapun, Jogho dan Laga merupakan dua filem yang berbeza, terutamanya dari sudut jalan cerita.

Jogho merupakan kisah laga lembu manakala Laga yang diarahkan oleh Ismail Yaacob dan akan ditayangkan di pawagam bermula hari ini menjurus kepada kisah laga ayam.

Laga mengisahkan tentang maruah seorang lelaki, Hasan Laga (Wan Hanafi Su) yang terkenal dengan kehebatannya melahirkan anak didik dalam pertandingan laga ayam. Kemudian musuh ketatnya, Orang Kaya Dasuki (Nasir Bilal Khan) mencabarnya untuk bertanding semula setelah gagal lima tahun lalu.

Selain ketokohan dan maruah Hasan dicabar, isterinya iaitu Ayu (Marsha Milan Londoh) yang jelita dan menjadi kegilaan Dasuki telah menjadi pertaruhan dalam pertandingan yang telah diaturkan.

Kemudian, situasi pertandingan menjadi meruncing apabila Dasuki menggunakan taktik kotor untuk menang tetapi ia berjaya dihalang oleh Sabri yang merupakan anak didik Hasan paling berbakat.

Bagi penulis yang berkesempatan menonton Laga pada mulanya menyangka jalan ceritanya sekadar berkisar tentang laga ayam semata-mata. Namun begitu, sangkaan itu ternyata meleset sama sekali.

Tidak dinafikan, laga ayam menjadi intipati utama dalam filem ini, cuma Ismail selaku pengarah mengambil pendekatan yang cukup berbeza apabila memaparkan isu yang lebih besar.

Sebenarnya, mesej utama yang cuba disampaikan adalah mengenai sikap segelintir pihak yang suka melagakan antara satu sama lain demi kepentingan diri sendiri.



LAKONAN Syazwan Zulkifli mendapat pujian manakala prestasi pelakon Indonesia, Tyas Mirasih dianggap biasa.

Apabila timbulnya sikap sebegini, perhubungan yang erat seperti sebuah keluarga akhirnya musnah.

Itulah realiti yang berlaku dalam kehidupan masyarakat sekarang seperti yang dipaparkan dalam Laga dengan garapan cerita yang mudah dan ringkas untuk difahami penonton.

Melihat kepada barisan para pelakon yang membintangi filem ini pula, ternyata tindakan Ismail memilih nama-nama besar seperti Wan Hanafi Su, Nasir Bilal Khan, Eman Manan dan Datuk Rosyam Nor merupakan satu pemilihan yang tepat.

Lakonan keempat-empat pelakon tersebut tidak harus dipertikaikan kerana masing-masing memainkan watak yang diberikan dengan cukup baik dan berkesan.

Sementara itu, lakonan Syazwan yang kali pertama diberikan watak utama wajar dipuji dan agak memuaskan. Cuma, dia perlu belajar lebih banyak lagi, terutamanya dari sudut penghayatan watak.




Mengenai pemilihan pelakon dari Indonesia iaitu Tyas Mirasih, wataknya sebagai Maya tidak terlalu memberikan sebarang impak, malah ramai lagi pelakon wanita tempatan yang mampu membawakan watak tersebut. Mungkin ini merupakan salah satu strategi pihak penerbit untuk memasarkan filem ini di Indonesia.

Bagaimanapun, penulis percaya salah satu faktor yang menjadikan Laga dinantikan peminat kerana babak panas yang hangat diperkatakan iaitu membabitkan Marsha dan Wan Hanafi Su. Itulah yang pernah terjadi ketika Ismail mengarahkan filem Lenjan dahulu apabila babak panas antara Rosyam dan Nina Juren mendapat perhatian.

Seharusnya, tumpuan penonton tidak perlu terarah kepada babak panas yang ditampilkan dalam filem ini semata-mata. Laga merupakan sebuah naskhah yang sangat menarik serta menampilkan kelainan yang cukup ketara berbanding filem-filem lain yang dihasilkan sekarang.
Previous Post Next Post