Jamal Abdillah ‘Hidup saya masih sunyi’



Sepanjang 34 tahun dalam industri muzik, Datuk Jamal Abdillah, 54, sudah memiliki hampir segalanya dalam hidup.

Selain karier seni yang kukuh, beliau juga mempunyai kehidupan selesa bersama dua anak lelakinya, Osama, 13, dan Zaki, 7.




Namun, kata pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali ini, bukan harta, pangkat dan gelaran yang dikejar dalam hidupnya, tetapi kesihatan yang baik adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai dalam hidupnya sekarang.

“Alhamdulillah, saya baru saja menjalani pemeriksaan kesihatan dan doktor mengesahkan saya tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya.

DALAM usia 54 tahun, Jamal masih sihat dan cergas.

“Bagi saya, itulah pencapaian tertinggi dalam hidup saya sekarang,” katanya.

Maklumlah, akui Jamal, dia pernah melalui saat-saat hitam dalam kehidupan hingga orang pernah memandang rendah terhadapnya dulu.

“Justeru, saya perlu meyakinkan orang semula dengan memiliki kehidupan yang lebih baik dengan karier seni dan perniagaan yang berkembang.

“Tidak terlintas pun di hati untuk menunjuk-nunjuk rumah dan kereta mewah dimiliki sebaliknya ia sekadar untuk membuka mata orang saja,” katanya.

Bagaimanapun, kata Jamal yang kembali solo sejak 2007, dia tidak serik untuk berumah tangga semula selepas melalui kegagalan dalam tiga perkahwinan terdahulu.

“Hidup saya masih sunyi dan tidak lengkap tanpa wanita bergelar isteri di sisi. Saya juga merancang ingin menamatkan zaman duda pada tahun ini, cuma calon isteri yang sesuai dan menepati cita rasa serta keperluan yang belum ditemui lagi.

“Saya tidak kisah sama ada calon isteri dalam kalangan orang biasa atau golongan artis kerana yang penting dia ikhlas untuk menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak saya,” katanya.

Perkahwinan pertama Jamal ialah dengan Basariah Latif pada 1988 tetapi mereka tidak dikurniakan anak.

Selepas bercerai dengan Basariah, Jamal berkahwin buat kali kedua dengan Intan Nur Aina dan dikurniakan seorang anak iaitu Osama tetapi perkahwinan itu tidak bertahan lama.

Menyusul selepas itu, Jamal berkahwin buat kali ketiga dengan Fatimatuzahra Samat dan dikurniakan seorang cahaya mata, Zaki.

Perkahwinan kali ketiga itu juga tidak mampu bertahan kerana mereka juga bercerai pada Mei 2007.

Osama kini tinggal bersama Jamal, manakala Zaki pula dijaga secara bergilir bersama bekas isteri.

Pada tahun ini saja, sudah ada dua konsert berskala besar yang dirancang Jamal khusus buat peminat setianya.

Antaranya, Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P Ramlee Dalam Kenangan yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 30 Mei hingga 2 Jun ini.

Apa yang istimewa, Jamal akan mendendangkan sebanyak 28 lagu hit karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama iringan 55 pemuzik profesional.

Menyusul selepas itu, Jamal akan menjayakan Konsert Gemersik yang juga ‘tribute’ pada seorang lagi idolanya iaitu Allahyarham Datuk Ahmad Jais pada September nanti.

Pada konsert itu, Jamal turut mengundang beberapa artis yang boleh menyampaikan lagu seniman hebat itu dengan baik seperti Haziq AF dan seorang lagi artis wanita.

“Konsert ini adalah idea saya sepenuhnya dan dianjurkan syarikat milik saya, Bintang Channel dan BinJamal Event Sdn Bhd.

“Setakat ini, persiapan untuk kedua konsert ini dirancang dengan teliti dan rapi oleh syarikat.

“Saya juga menjaga aspek kesihatan dan stamina demi memberikan yang terbaik pada peminat sekali gus kepuasan pada diri sendiri,” katanya.




Beralih mengenai bingkisan album baru pula, kata Jamal dia juga dalam perancangan untuk menghasilkan single baru pada tahun ini.

“Semuanya masih dalam proses perbincangan lagi bersama penerbit.

“Saya akan hasilkan single demi single terlebih dulu sebelum muncul dengan album penuh nanti.

“Konsep album masih pop tetapi ada elemen kontemporari yang juga kolaborasi dengan band indie seperti Bunkface,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamal turut menjayakan Malam Gala Cinta Tanpa Sempadan, bersama penyanyi popular Indonesia, Datuk Rossa dan Afgan pada tanggal 14 Februari ini.

Malam gala itu akan berlangsung pada jam 8 malam di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Previous Post Next Post