Linda Rafar Kami Bahagia



ARTIS yang sudah berumah tangga yang pernah menyepi tetapi kembali aktif dalam bidang seni, pasti akan berhadapan dengan masalah yang sama.

Kemunculan semula mereka pasti diiringi dengan bisik-bisik pemerhati, kononnya rumah tangga sedang bermasalah. Mana tidaknya, sekian lama menyepi, muncul semula, sudahnya rumah tangga yang akan dipersoalkan orang.

Namun bagi pelakon dan penyanyi Linda Rafar, dia tidak gusar dengan tanggapan masyarakat terhadap penampilannya yang kini kembali aktif dalam bidang seni.

Bagi Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar, 36, penampilannya terkini bukanlah seperti mana di awal usia remaja yang lebih kepada mengejar gemerlapan pesona bintang. Sebaliknya kehadiran kali ini lebih kepada terapi diri dan sebagai bukti, jiwa seni dalam dirinya tidak pernah mati.

Kata Linda, rumah tangganya dengan Syed Aiman, 39, atau nama sebenarnya Syed Kamarulzaman Syed Mahmud yang diijabkabulkan pada 2 Disember 2006 tiada masalah. Mereka bahagia sebagai suami isteri dan ibu bapa kepada Rezaril dan Rezaiman Keifli serta Syed Rezaqiib dan Syed Ariq Syed Aiman.

Linda diberi tanggungjawab menjadi heroin dalam telemovie Mengapa Ku Diseksa arahan Zul Huzaimy Marzuki, terbitan Suhan Movies. Menariknya telemovie itu merupakan tribute buat Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Bertuah sebenarnya Linda kerana diberi peluang itu. Tambahan dia digabungkan bersama Zul Huzaimy dan Zul Handy Black. Nampaknya aktiviti seni yang agak berkurangan sejak kebelakangan ini mungkin akan mekar kembali.

Tidak mahu bercerita lanjut tentang itu, Hits terus mempersoalkan ‘kehilangan’ Linda dalam industri. Memulakan perbualan dengan tutur kata yang sopan, Linda memberitahu dia sebenarnya tidak berhenti dalam membuat kerja asalnya sebagai pelakon atau penyanyi.

"Masih ada tawaran tetapi cuma dalam persembahan kecil-kecil sahaja. Mungkin muka saya jarang keluar televisyen sebab itu ramai yang mencari saya.

"Sekarang saya ambil balik peluang berlakon itu kerana semua itu saya lakukan untuk terapi diri, bukan untuk tengok pasaran. Lama juga saya menghilangkan diri.

"Sebab itu, saya kini memilih tawaran berlakon. Saya cuba beralih dengan menerima tawaran berlakon telefilem berbanding drama bersiri yang mengambil masa terlalu panjang.

"Dalam apa juga keadaan, sebagai ibu, saya lebih mementingkan anak-anak. Walaupun kembali berlakon, kembali ke lokasi, anak-anak tetap terjaga dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah tidak terabai sama sekali," katanya.

Kerinduannya terhadap bidang lakonan memang sangat kuat tetapi demi tanggungjawab dan komitmen keluarga membuatkan dia terpaksa melupakan niat untuk bergiat terlalu aktif.

Kembalinya dia semula melalui telefilem itu, kata Linda dia tidak berniat untuk mencari populariti.

"Sudah cukup rasanya zaman-zaman glamor itu. Semuanya sudah berakhir. Sekarang saya sasarkan satu kepuasan buat diri dan biar lakonan saya memberi kesan kepada penonton.

"Saya inginkan hasil yang dapat memuaskan bukan sahaja diri saya tetapi juga kepada penonton yang melihat lakonan saya," jelasnya.




Fokus perniagaan

Lamanya Linda menghilang tidak bererti dunia seni mahu diketepikan begitu saja. Fokusnya yang sebenar sekarang adalah ke arah perniagaan miliknya.

Sama seperti suaminya Syed Aiman yang mengusahakan perniagaan sendiri, membuatkan Linda melupakan seketika bidang lakonan.

Pun begitu, Linda sentiasa optimis untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerja dengan baik.

Kata Linda, perniagaan jualan produk kecantikkannya sejak lima bulan lalu kini semakin laris. Bukan sahaja menggunakan laman sosial, Linda juga sebenarnya mempunyai sebuah gerai jualan di Busana@Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur untuk mempromosikan produknya itu.

"Ini persediaan hari tu kami. Bidang perniagaan adalah masa depan, walaupun lakonan dan nyanyian juga salah satu punca pendapatan yang baik.

"Lagipun, jiwa berniaga ini sudah lama ada dalam diri saya, ia juga tidak boleh dipisahkan begitu sahaja. Jadi, ada baiknya supaya semua dapat berjalan serentak, selagi saya masih mampu menguruskannya dengan baik," kata Linda.
Previous Post Next Post