Mawi selesa tidak terlalu popular



KETIKA muncul sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3) pada tahun 2005, penyanyi Asmawi Ani atau Mawi pernah melalui zaman kegemilangannya dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada peminat sehingga mendapat gelaran ‘Raja SMS’.

Bagaimanapun, kegemilangan yang diraih oleh penyanyi yang popular menerusi lagu Aduh Saliha itu tidak bertahan lama di sebalik kemunculan ramai pendatang baharu yang mewarnai industri muzik tempatan sekarang.

Menyedari auranya sebagai seorang penyanyi semakin tenggelam, Mawi yang ditemui semasa majlis pengumuman Top 5 Anugerah MeleTop Era pada minggu lalu di The Zouk, Kuala Lumpur berkata, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadi penyanyi.




Dalam pada itu, penyanyi berkenaan juga meluahkan rasa terkejutnya apabila lagu duetnya bersama Datuk AC Mizal, Al Haq Yang Satu, mendapat sambutan hangat dan sekali gus menaikkan semula namanya dalam bidang seni suara.

Kosmo!: Sebelum muncul dengan lagu Al Haq Yang Satu, Mawi dilihat tidak begitu aktif menyanyi. Apakah aktiviti yang anda lakukan?

MAWI: Sebenarnya tumpuan saya kini lebih menjurus kepada bidang perniagaan menerusi produk jenama saya dan isteri iaitu UneQuein yang berasaskan produk kesihatan dan kecantikan.

Pada tahun ini juga, saya akan melebarkan lagi sayap perniagaan dengan meneroka bidang fesyen pula. Kami menjual pakaian untuk lelaki dan wanita.

Apakah cabaran paling hebat yang Mawi lalui selama setahun bergelar seorang ahli perniagaan?

Sudah tentu perkara yang paling mencabar ialah mendapat keyakinan daripada orang ramai tentang produk yang dijual serta bukan mudah untuk memuaskan hati pelanggan. Namun begitu, saya anggap segala cabaran yang dilalui itu sebagai pengalaman paling bermakna.


MAWI mengaku seronok berada dalam fasa popular sebelum ini, namun dia tidak mahu kembali ke zaman tersebut.

Apabila perniagaan Mawi semakin maju serta lebih ramai artis baharu yang muncul sekarang, adakah anda tidak mahu berhenti menyanyi dan menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan sahaja?

Selama ini saya tidak pernah terfikir mahu berhenti menyanyi kerana ia merupakan minat saya.

Biarpun saya dilihat tidak begitu aktif tetapi tawaran membuat persembahan masih lagi diterima.

Sebenarnya, pada tahun lalu saya pernah muncul dengan dua buah single iaitu Menanti Hikmah dan Termolek tetapi kedua-duanya kurang mendapat sambutan.

Namun begitu, ia langsung tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan karier nyanyian yang sudah diceburi selama sembilan tahun.




Dahulu Mawi pernah mencetuskan fenomena sehingga mempunyai jumlah peminat yang sangat ramai. Adakah anda selalu teringat saat-saat melalui zaman kegemilangan dahulu?

Ia merupakan suatu perkara normal untuk mengingati zaman kejayaan yang pernah dinikmati sebelum ini.

Lagipun hidup ini umpama pusingan roda dan tidak selama-lamanya kita sentiasa berada di atas.

Sebenarnya, saya sendiri tidak kisah kalau sudah tidak popular seperti dahulu lagi dan berasa sangat selesa dengan keadaan sekarang. Kenangan lalu ternyata banyak mengajar saya untuk menjadi seorang anak seni.

Apakah perancangan yang akan dilakukan Mawi pada tahun ini?

Selepas lagu Al Haq Yang Satu mendapat sambutan baik daripada para pendengar, saya dan (Datuk) AC Mizal bakal melahirkan sebuah lagi single baharu. Selain itu, saya juga akan muncul dengan single solo saya dalam masa terdekat ini.
Previous Post Next Post