Miranda tak tiru telenovela Latin



Drama bersiri Menjinak Ombak yang disiarkan menerusi slot Zehra setiap Jumaat sememangnya berjaya menarik penonton. Garapan cerita yang mantap membuatkan mereka ternanti-nanti tayangannya apabila disiarkan. Begitupun, tidak ramai yang tahu drama ini diarahkan oleh Along Kamaruddin.

Pengarah yang masih aktif mengarah ini seakan menjauhkan diri dari publisiti. Terbaru, kepakarannya ditagih pula dalam drama Miranda yang akan menemui penonton menerusi slot Samarinda TV3 sebanyak 15 episod tidak lama lagi.

Wakil RAP yang hadir ke lokasi penggambaran di Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini melihat kegigihan Along dan kru serta barisan pelakonnya menyiapkan drama berkenaan.

“Bukan saya nak lari dari media, tapi biarlah saya muncul dengan produk terbaru. Apabila orang tengok hasilnya dan tertarik, barulah saya sedia muncul untuk diberikan publisiti. Saya tak suka publisiti berlebihan, tapi hasilnya tiada.

“Contohnya seperti Menjinak Ombak yang menjadi sebutan sekarang. Saya puas kerana karya ini diterima oleh penonton, sekali gus memberi kepuasan kepada saya sebagai pengarah,” katanya.


Along berkata, sebagaimana Menjinak Ombak, dia turut memberikan sentuhan terbaik buat drama yang membariskan ramai pelakon popular antaranya Fasha Sandha (Miranda), Dazrin Kamarudin (Ammar), Datuk Eizlan Yusof (Datuk Shukri), Zila Bakari (Datin Rina), Roy Azman (Datuk Salleh) dan Fauzi Nawawi (Fezrul) ini.

“Konsep drama dalam Samarinda ialah korporat. Bagaimanapun, kelebihannya cerita ini ada babak di kampung. Jadi, saya banyak mainkan panorama kampung seperti rumah kampung di Melaka.

“Ini kelainan yang ditampilkan dan saya cuba buat perubahan. Pihak TV3 juga tiada masalah menerima pembaharuan yang dibuat,” katanya.

Meneliti judul dramanya, konsep drama ini seolah-olah diambil dari telenovela Latin. Namun, Along menafikannya kerana Miranda dibuat mengikut acuan sendiri.

“Miranda tak meniru mana-mana drama. Ia bermula dengan karakter Miranda yang berasal dari kampung dan menceburi dunia korporat. Perkembangan jalan cerita dan kombinasi dengan setiap watak memang menarik dan penonton pasti akan seronok mengikuti kisahnya,” katanya.

Along berkata, mereka terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan penggambaran mengikut masa ditetapkan bagi mengejar masa tayangan.




Sehubungan itu, bagi memastikan semuanya berjalan lancar, dia mengamalkan konsep penggambaran mengikut blok iaitu menghabiskan semua babak di satu lokasi sebelum berpindah ke lokasi lain.

“Kami terpaksa buat begini kerana ia lebih pantas. Saya juga tak suka penggambaran berlarutan selepas jam 12 malam dan lebih senang bermula sebelah pagi. Saya akan siapkan dalam 15 hingga 18 babak sehari dan selepas itu arahkan pelakon balik untuk berehat kerana mahu mereka cukup tidur,” katanya.

Menurut Along, kebiasaannya episod awal sesebuah drama baru agak sukar menarik perhatian penonton seperti mana drama Menjinak Ombak.

“Mulanya ia perlahan tapi lama kelamaan jadi sebutan ramai. Apapun, bagi saya watak Miranda sendiri akan buat peminat mengikuti drama ini. Wataknya lain daripada drama Natasha yang menaikkan Fasha, cuma ia akan jadi ‘comeback’ buatnya untuk lebih diminati ramai,” katanya yang pernah bekerja dengan Fasha menerusi drama Cinta Elysa.


Sinopis

Drama ini mengisahkan Miranda yang melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas memutuskan pertunangan dengan Izwan iaitu pemuda pilihan ibu tirinya, Salimah.

Izwan cuba merogol Miranda tetapi Salimah tidak percaya dan menganggap Miranda cuba memfitnah Izwan. Malah Salimah memaksa Miranda dengan Izwan bernikah secepat mungkin namun Izwan acuh tak acuh malah lebih kerap mahu mengambil kesempatan terhadap Miranda.




Miranda kemudian menumpang di rumah bapa saudaranya Datuk Shukri buat seketika. Namun, kemunculannya mengejutkan anak-anak Shukri iaitu Ammar dan Melly. Isterinya, Datin Rina walaupun tidak senang dengan kedatangan Miranda, dia tidak menunjukkan perasaannya tetapi selalu mempersoalkan kepada Shukri.

Akhirnya Rina menghalau Miranda dari rumah mereka dan merahsiakan perkara itu daripada Shukri. Dia pura-pura kesal kerana menunjukkan rasa tidak suka kepada Miranda. Selepas keluar dari rumah Shukri, Miranda menumpang pula di rumah rakannya, Mazita yang bekerja di stesen minyak.

Dengan pertolongan Mazita, Miranda berjaya mendapatkan pekerjaan di situ. Bagaimanapun, Shukri berjaya menemuinya di situ manakala Izwan terus mencarinya.
Previous Post Next Post