Ning Baizura Bukan galakkan hubungan songsang



PENGHASILAN klip video selalunya dilakukan bagi tujuan promosi dan juga bagi membantu menaikkan jumlah pendengar untuk sesebuah lagu. Menerusi jalan cerita yang unik serta teknik sinematografi yang menarik, klip video yang dihasilkan mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Namun, bukan semua klip video yang dihasilkan mampu diterima oleh orang awam. Penyanyi bersuara saprano, Ning Baizura baru-baru ini, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dia bertindak menyiarkan klip video untuk single terbaharunya berjudul Bukan Wanita Sempurna menerusi laman pengkongsian video YouTube.




Dalam video itu, Ning digambarkan sebagai seorang isteri kepada lelaki berkerjaya yang menjalinkan hubungan songsang dengan lelaki lain.

Ada dalam kalangan peminatnya yang tidak boleh menerima jalan cerita tersebut dan menuduh Ning cuba mempromosikan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Ketika ditemui di pejabat rasmi Universal Music Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin, Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah tidak terus melatah ketika diajukan pelbagai soalan mengenai klip video tersebut.

Nyata mempunyai alasan yang tersendiri, Ning memperjelaskan mengenai jalan cerita sebenar dan mesej yang ingin disampaikannya kepada para peminat.

Kosmo!: Kenapa Ning memilih untuk mengetengahkan hubungan songsang antara sepasang lelaki sebagai jalan cerita utama dalam pembikinan klip video Bukan Wanita Sempurna?



NING: Sejujurnya, niat sebenar saya bukanlah untuk mempromosikan cara hidup songsang seperti yang digembar- gemburkan oleh orang ramai. Saya hanya mengetengahkan isu yang dianggap tabu tetapi masih berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Tidakkah Ning risau tanggapan negatif yang akan dilemparkan oleh orang ramai khususnya peminat Ning sendiri?

Bagi saya, mesej yang ingin disampaikan begitu jelas sekali. Wanita seharusnya berhati-hati dalam melayari bahtera rumah tangga. Banyak perkara pelik berlaku saban hari, justeru, perlakuan curang juga boleh dikategorikan sebagai universal dan ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak mengira jantina.

Adakah dengan penghasilan klip video ini Ning mahu lari daripada elemen klise yang sering ditonjolkan oleh penyanyi lain?

Sebenarnya, saya berusaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan p enghasilan klip video yang berkualiti. Dahulu, orang ramai sangat ternanti-nanti klip video daripada artis kegemaran mereka. Tetapi, sejak kebelakangan ini, semangat itu seperti pudar. Justeru, dengan adanya klip video yang mempunyai jalan cerita yang unik, saya yakin penerimaan peminat terhadap klip video boleh dikembalikan seperti dahulu.

Bagaimana dengan reaksi suami Ning (Omar Sharif Christopher Layton Dalton) sendiri? Apakah komen yang diberikan apabila Ning memberitahunya tentang jalan cerita dalam klip video ini?

Ketika memberitahunya tentang rancangan asal klip video ini, suami saya risau jika penonton membayangkan ia adalah kisah benar. Tetapi, setelah menjelaskan secara terperinci kepadanya, dia mulai faham dan tidak mengambil serius dengan jalan cerita yang ditampilkan itu.

Boleh ceritakan sedikit mengenai pembikinan klip video ini?

Idea asal dan jalan cerita klip video ini datangnya daripada seorang pengarah terkenal daripada Indonesia bernama Zul Ardhia. Pengambaran juga dilakukan di sana dan watak suami saya dilakonkan oleh pelakon sinetron, Benny Ruswandi.

Mengapa memilih produksi daripada Indonesia?

Syarikat rakaman mempunyai rancangan untuk membawa saya menembusi pasaran di sana. Bagi memberikan kesinambungan, lagu Bukan Wanita Sempurna telah dirakamkan dalam versi berbeza berjudul Bukan Lelaki Sempurna. Versi itu dinyanyikan oleh Anji, vokalis kumpulan Drive. Jika diizinkan, kami berdua akan berduet menerusi sebuah lagu bagi memberikan penghujung kepada kedua-dua lagu itu.




Apakah perkembangan terbaharu Ning?

Saya baru sahaja mengeluarkan album kompilasi berjudul Kekal. Walaupun hanya mengandungi tiga lagu baharu, lagu-lagu lama yang ada telah diberikan nafas yang lebih segar sesuai dengan peredaran waktu. Selain itu, saya sedang merancang untuk menjadikan Konsert Pelangi Untukmu sebagai sebuah konsert jelajah yang dapat menghiburkan peminat di Singapura, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ning Baizura - Bukan Wanita Sempurna
Previous Post Next Post