"Saya Beri Nafkah, Cuma Tak Bayar Sewa Rumah" - Aidil Zafuan



Pemain bola sepak Kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak, 27, menarik balik keterangannya sebelum ini bahawa dia tidak pernah mengelak daripada membayar nafkah untuk Rita Rudaini dan anak-anak selepas mengakui tidak menjelaskan bayaran rumah sewa RM3,000 sejak keluar dari rumah kelaminnya bersama Rita pada Januari, dua tahun lalu.




“Sepanjang tempoh anak-anak tinggal dengan plaintif (Rita Rudaini), saya memang tidak pernah gagal memberikan nafkah kepada mereka, tetapi, cuma tak bayar sewa rumah.

“Saya tidak berbohong kepada mahkamah, cuma keterangan pada 4 Disember 2013 itu tidak tepat,” jelas Aidil selepas perkara tersebut dibangkitkan oleh peguam Rita dalam sesi soal balas terhadapnya.

Dalam pada itu, Aidil mengakui tidak pernah menetapkan jumlah perbelanjaan untuk anak-anak namun menganggarkan sekitar RM700 sebulan mengikut keperluan. Malah dia juga memperuntukkan RM500 untuk pakaian anak-anaknya.




Berkenaan dengan gaji yang diperoleh, Aidil menyatakan dia menerima RM12,000 ketika berkhidmat bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2012.

“Ketika berkhidmat dengan pasukan Negeri Sembilan pada 2011, saya menerima pendapatan RM8,000 sahaja,” katanya yang turut membayar ansuran kereta BMW 3 Series sebanyak RM2,000 dan motosikal Ducati Monster bernilai RM1,000 sebulan.

Sebelum ini, Rita menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.
Previous Post Next Post