Sheila Rusly pilih low profile



Sheila Rusly sombong dan tidak perlukan publisiti? Sebabnya, projek dari stesen televisyen tetap kencang hingga tidak menang tangan untuk menyiapkannya.

Itulah cerita disampaikan rakan wartawan kerana pelakon bergelar penerbit dan kini pengarah bersama suami, Jinggo atau Azman Yahya tidak bersedia memenuhi permintaan media untuk sesi fotografi dan liputan untuk program diterbitkan.
Lama juga wajahnya tidak kelihatan di televisyen mahupun layar lebar, hanya namanya sering terpampang di skrin televisyen sebagai penerbit dan pengarah.

Lama juga tidak bertemu Sheila yang menjadi antara artis muda berhijrah dengan penampilan bertudung selepas menunaikan Rukun Islam kelima. Ada ketika bertemu rakan artis, ada yang bercerita mengenai kesudian Sheila mengambil mereka bertudung berlakon ketika berdepan masalah kurang tawaran dari produksi.




Bagi mereka, sebagai pelakon bertudung dan kini bergelar penerbit, Sheila memahami masalah yang mereka hadapi dengan memberi peluang berlakon dan kini kebanyakan syarikat produksi juga bersikap terbuka dengan mengambil mereka yang bertudung berlakon.

Baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu Sheila, 43, secara tidak sengaja apabila melihat van JS Pictures bersama deretan kereta lainnya di depan rumah di Shah Alam. Bagi saya, ia ibarat bahan berita di depan mata.

Namun risau juga, bimbang Sheila tidak mahu menerima kehadiran media dan saya datang sekadar ingin memberi salam kerana lama tidak bertemu. Nyata kunjungan itu disambut baik Sheila dan suami walaupun ketika itu sibuk memantau kerja-kerja pengarahan.

Mereka menjalani penggambaran drama untuk TV3, Tuan Rumah Pembantu Rumah selama dua hari di situ. Sempat juga berborak walaupun ada kalanya terpaksa berbisik tidak mahu mengganggu penggambaran. Pada hari itu hanya ada pelakon baru, Hisyam Hamid untuk babak di rumah.

Untuk soalan cepu emas mengenai Sheila ‘jauh’ dari media dan tidak perlukan publisiti, Sheila menafikan perkara itu. Katanya, dia ‘low profile’ akhir-akhir ini dan banyak menumpukan perhatian dengan kerja-kerja di lokasi.

Dia bukan hanya menjadi penerbit, malah pengarah bersama suami. Kata Sheila, tolong-tolong Jinggo.




Jika ada waktu terluang, kata Sheila, ada juga dia bertemu rakan media yang sudah lama kenal untuk berbual mengenai perkembangan industri hiburan.

Dalam pertemuan itu, Sheila juga berkongsi hasratnya untuk kembali berlakon selepas lama tidak muncul di televisyen. Katanya, skrip sudah ada tapi masih mempertimbangkan sama ada hendak berlakon atau tidak.

Sheila akui peminat sering bertanya bila hendak berlakon kerana lama tidak melihat lakonannya di televisyen. Kali terakhir Sheila berlakon dalam telefilem Jane Jamilah, kira-kira dua tahun lalu.

Bagi Sheila, bukan tidak rindu berlakon tetapi kesibukan dengan kerja-kerja belakang tabir membuatkan hasrat itu sering tertunda.

Kali ini Sheila tertarik berlakon kerana watak menarik sebagai ibu yang punya kekuatan berbeza dengan watak yang dilakonkan sebelum ini.

Sudah tentu drama ini diterbitkan JS Pictures untuk TV3 dan bakal disiarkan pada Ramadan nanti. Walaupun peminat dapat melihat wajah Sheila melalui program Ketuk-ketuk Ramadan, tapi tidak sama dengan melihat lakonannya menjiwai watak dalam drama.

Semoga Sheila sedia ketepikan seketika kesibukan jadualnya dengan kerja-kerja belakang tabir dengan kemunculannya di depan tabir.
Previous Post Next Post