Shiela Mambo aktif menulis skrip



SETELAH mengenakan hijab usai menunaikan umrah pada bulan Jun tahun lalu, pelakon Sheila Mambo, 51, dilihat kurang membuat penampilan menerusi drama serta filem menerusi kaca televisyen mahupun di layar perak.

Biarpun hatinya meronta-ronta masih mahu meneruskan perjuangan sebagai seorang pelakon, namun apa yang dihajati Sheila atau nama sebenarnya, Rusilawati Hasan hanyalah peluang untuk membawakan watak yang lebih sesuai dengan penampilan terbaharunya.

Ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama para pelakon drama slot Aksi, Jiwa di Sri Pentas, Bandar Utama minggu lalu, dia yang dahulunya sering mendapat tawaran melakonkan watak-watak antagonis dan komedi mengaku sedikit kecewa dengan senario yang dialaminya itu.




Buka tudung

“Sejak muncul dengan imej baharu, tawaran untuk berlakon sedikit berkurangan. Mungkin sebelum ini saya lebih dikenali dengan watak-watak antagonis. Jadi, apabila berhijab ia sedikit sebanyak membataskan tawaran yang diberikan oleh para produser.

“Ada antara mereka yang meminta saya untuk membuka tudung tetapi saya menolak tawaran itu dengan baik. Mungkin mereka tidak tahu bahawa saya kini sudah mengenakan hijab secara penuh selepas pulang daripada mengerjakan umrah,” ujar Sheila yang tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambilnya itu.

Ketika ditanya mengenai watak yang sesuai dengan penampilan baharunya itu, Sheila berkata, dia lebih memberikan keutamaan kepada tawaran yang memerlukannya bermain dengan emosi tanpa menuntut sebarang aksi di luar batasan.

“Walaupun bertudung, saya masih boleh memainkan watak-watak lucu dalam drama atau filem yang bertemakan komedi. Saya turut tidak keberatan untuk membawakan watak-watak berat yang serius dan memerlukan lebih permainan emosi.

“Sebagai contoh, menerusi drama Jiwa, saya memegang watak sebagai seorang isteri yang berhadapan dengan konflik setelah suaminya berkahwin dengan perempuan lain,” katanya.

Sheila yang memegang watak sebagai Mastura bakal menemui penonton menerusi drama tersebut pada setiap hari Rabu pukul 9 malam mulai 5 Februari depan.

Dia yang pernah popular menerusi filem-filem komedi seperti Mami Jarum, Mami Jarum Junior, Anak Mami Kembali dan Idola menambah, kehidupannya lebih teratur dan tenang apabila dia mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya.

“Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih tenang dan bahagia. Saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Jika mempunyai masa lapang dan tidak terikat dengan jadual penggambaran, saya pasti akan menghabiskan masa di rumah,” katanya.



Penulisan skrip

Walaupun rezekinya dalam bidang lakonan kurang memberangsangkan tetapi dalam diam, pelakon yang pernah dicalonkan pada Anugerah Bintang Popular 2008 menerusi kategori Artis Komedi Wanita Popular ini sedang aktif dalam bidang penulisan skrip. Antara drama yang pernah ditulisnya termasuklah Yang Tersirat dan Rabbighfirli.

“Saya cuba untuk menulis skrip sejak tahun 2006. Ketika itu, banyak karya-karya yang dihasilkan tersimpan tidak berusik. Mungkin saya kurang yakin dengan pengisian setiap skrip yang telah saya tulis.

“Bagaimanapun, bermula tahun lepas, saya kembali aktif menulis dan mula mengetengahkan karya-karya garapan saya menerusi penerbitan beberapa buah telemovie dan drama bersiri,” katanya yang ingin membuktikan selain berbakat dalam bidang lakonan, dia turut mahir dalam bidang penulisan skrip.




Sheila menambah, skrip tulisan seorang pelakon sedikit berbeza jika ingin dibandingkan dengan karya-karya yang dihasilkan oleh penulis skrip yang lain.

Katanya, pengalaman seorang pelakon sedikit sebanyak membantu dalam merealisasikan penceritaan sesebuah drama itu dengan lebih mudah.

“Biasanya, seseorang pelakon yang mempunyai kemahiran menulis skrip lebih mengetahui mengenai elemen-elemen yang terbaik dan perlu dimuatkan dalam sesebuah babak.

“Lebih-lebih lagi apabila pelakon itu mempunyai pengalaman yang banyak dalam dunia lakonan. Semakin berkembang jalan cerita dan cara penceritaan yang boleh disampaikan menerusi sesebuah penulisan itu,” katanya.

Tidak mahu meninggalkan terus dunia lakonan, Sheila memberitahu, dia akan terus berlakon selagi khidmatnya dalam industri seni diperlukan.

“Walaupun saya kini aktif dalam bidang penulisan skrip, saya masih lagi mahu meneruskan karier saya sebagai seorang pelakon. Pada pendapat saya, selagi bakat saya dihargai dan khidmat saya sebagai pelakon diperlukan, saya akan terus berdiri di hadapan kamera dan terus berlakon,” katanya mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post