Shila Amzah Tiada percintaan dengan Johan!



BARU sahaja reda namanya dikaitkan dengan kisah cinta singkat Lana Nordin dan Johan As’ari, kini timbul pula kisah sedang rapat dengan seorang pendatang baru. Soalnya mengapa penyanyi ini terus-teruskan dikaitkan dengan soal cinta?

Ikutkan bukan sekejap dia mengambil tempoh untuk berada pada kedudukan sekarang, 14 tahun dia berusaha gigih untuk memastikan nama Shila Amzah cukup dikenali peminat. Bagaimanapun dalam meraikan kejayaannya itu, dia seakan terus ditarik ke kancah kontroversi. Tidak mahu terus memikirkan soal itu Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 24, mempunyai misi yang lebih besar.




"Saya sudah tidak kisah lagi dihimpit dengan kontroversi begini.

"Secara jujurnya saya memang rapat dengan semua orang. Tetapi buat masa ini fokus saya lebih kepada kerja sahaja, itu lebih baik, "katanya yang ditemui pada majlis yang dianjurkan di pejabat urusan Warner Music Malaysia, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Tidak habis dikaitkan dengan soal cinta, menurut Shila buat masa ini dia tidak terfikir untuk rapat dengan mana-mana lelaki. Malah pendatang baru dalam dunia artis, Aman Nassim, yang dikatakan rapat dengan dirinya itu juga sedikit mengelirukan, memandangkan mereka tidaklah serapat mana.

"Saya tidak tahu macam mana kisah dengan dia boleh wujud. Saya memang mudah mesra dengan sesiapa, orang salah sangka.

"Saya tidak boleh cakap saya tidak mahu bercinta, siapa tahu di masa hadapan ia berlaku lagi. Tetapi impian saya memang mahu mengukuhkan nama serta perniagaan saya dahulu,"katanya.

Mengekalkan hubungan baik dengan ibu Johan As’ari, ada yang tertanya tentang niat sebenar Shila. Malah ada yang mengatakan ibu pelakon itu tetap mahu memilih Shila sebagai menantunya pada masa depan.

Menolak untuk terus dikaitkan dengan Johan, jujurnya Shila mengakui dia selesa untuk hanya dikenali sebagai anak angkat kepada ibu pelakon tersebut. Dia tidak mahu memberi sebarang harapan akan ada hubungan intim dengan jejaka tersebut lagi.

"Tidak mengapalah saya teruskan hubungan dengan keluarganya. Lagi pun memang kami sudah lama rapat, ia adalah hubungan antara keluarga juga,"katanya, jelas.

Bagaimanapun diuji dengan soalan seandainya jodoh masa depannya adalah dengan lelaki itu, Shila dengan memberikan jawapan yang memperlihatkan sisi kematangannya.

"InsyaAllah tidak akan ada (perkahwinan). Saya lebih selesa menjadi anak angkat keluarga dia sahaja,"katanya.




Bukan jutawan

Dikatakan antara artis yang menerima pendapatan tertinggi, akui Shila yang juga anak kepada penyanyi ND Lala, ini adalah satu fakta yang dianggapnya mengarut. Tidak menolak rezeki nyanyiannya semakin melonjak, itu tidak bermakna dia menerima pendapatan seperti yang dinyatakan.

"Itu mengarut. Memanglah kemenangan di Asia Wave melayakkan saya menerima dana berjumlah RM5 juta tetapi itu bukan dalam bentuk tunai. Selain itu juga saya masih terikat dengan pihak pengurusan saya di China, Shanghai Media Group (SMG). Saya tidak diberikan gaji bulan kerana saya dibayar berdasarkan projek,"katanya.

Nampaknya, dalam usia sekarang, Shila sudah banyak berubah. Lebih penting lagi, dia sudah tahu apa yang perlu diberi perhatian wajar dalam melestari nama baiknya di mata peminat. Dia bukan lagi budak-budak yang mudah diperkotak-katikkan. Bukti terbaru, Shila dia bakal meneruskan tindakan undang-undang ke atas seorang pemilik akaun palsu yang menggunakan namanya di Facebook.

"Saya tidak nafikan dia mungkin mempunyai niat untuk menjatuhkan saya, ini kerana segala lepasan di laman Facebook berkenaan seakan cuba memberi kenyataan memburukkan saya. Saya pernah menegurnya tetapi dia sudah menyekat saya dari melihat laman Facebook palsu itu. Perkara ini sudahpun saya serahkan kepada peguam, sampai masanya saya bertindak. Terbaru saya lihat akaun Facebook berkenaan sudah dipadamkan, tetapi saya masih perlu berjaga-jaga,"katanya.

Tidak mahu terkesan dengan segala kontroversi yang sering menyinggah, Shila akhirnya mahu berkongsi satu lagi berita gembira kini. Bakal mengadakan konsert berskala besar pada bulan April nanti, Shila berharap agar impiannya ini berjalan lancar.

"Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu adalah perancangan mengenainya. Ia akan ditaja sepenuhnya, namun ia bukanlah semudah yang disangka untuk menerima penghargaan sebesar ini. Mengapa mereka berani menaja, mungkin soalan itu nanti layak ditanya kepada pihak penaja di sidang media rasmi nanti,"katanya.
Previous Post Next Post