Zamir tebus kekecewaan di dalam master chef all stars



Nasib tidak menyebelahinya ketika beliau berentap pada musim pertama program MasterChef Malaysia, tiga tahun lalu. Ketika itu, Arshad Zamir menamatkan saingan pada peringkat separuh akhir bersama Amita Tan.

Namun, penyertaannya dalam musim terbaharu, MasterChef Malaysia All Stars nyata membuahkan hasil apabila Zamir berjaya melangkah ke episod Pembalasan Terakhir, seterusnya memenangi program realiti terbabit.

Zamir, 21, seorang pelajar peringkat diploma dalam bidang kulinari di Kolej Taylor, menewaskan Celina Khor, naib juara MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua.

Dalam tugasan terakhir, kedua-dua peserta bersaing menyediakan pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut mengikut kreativiti masing-masing. Mereka perlu menyediakan hidangan terbabit mengikut masa yang ditetapkan iaitu 45 minit bagi hidangan pembuka selera serta masing-masing 60 minit bagi hidangan utama dan pencuci mulut.




Zamir bagaimanapun berjaya mencuri hati tiga juri pertandingan iaitu Chef Papa Joe, Chef Zubir dan Chef Adu, dengan perbezaan markah yang kecil.
Previous Post Next Post