Anak FELDA ikut jejak Mawi

Dia pernah menjadi bintang paling fenomena di negara ini di mana hampir setiap hari ceritanya menghiasi akhbar dan majalah.

Berasal dari FELDA Taib Andak, Johor dan juara Akademi Fantasia 3, bintang itu tidak lain tidak bukan adalah Asmawi Ani, 33, atau lebih dikenali sebagai Mawi.


Kejayaan Mawi bukan saja hadiah terindah buat pencintanya, bahkan menjadi kebanggaan FELDA Taib Andak termasuk warga FELDA lain.

Siapakah lagi bintang kelahiran FELDA yang mampu menyaingi Mawi, antara permata seni yang namanya akan terus terpahat dalam lipatan sejarah.


BARISAN penyanyi baru Album Komuniti FELDA (berdiri kiri), Riqa, Ilham, Shana dan Adhana. (duduk kiri) Indra, Zaki Zain dan Taufiq.


Justeru, usaha FELDA memperkenalkan Album Komuniti dengan menampilkan barisan penyanyi baru berstatus anak FELDA dilihat sebagai satu inisiatif melahirkan bintang seni suara setanding Mawi.


Bakat baru yang bertuah itu adalah Indra Putra Masri (Indra), 22, yang mempertaruhkan lagu Alam kekasih, Muhamad Taufiq Ahmad Rodzi (Taufiq), 20, Buat Seorang Isteri dan Hamparan Lenamu; Mohd Zaki Haji Muhamad Zin (Zaki Zain), 30, Ragaman; Siti Noor Hana Mustafa Syana, 22, Zikiran Rindu; Adhana Mulut (Adhana), 31, Ini Janji Kita dan Ayu Zurikha (Riqa), 19, Teman Kuliah.

Barisan artis terkenal berasal dari FELDA yang turut berkolaborasi dalam album ini ialah Jalil Hamid, Siti Nordiana dan penya­nyi rap jemputan, Zahid.

Komposer terkenal, Azmeer, yang bertindak sebagai salah seorang penerbit serta pencipta lagu untuk album ini berkata, penganjuran acara Wayang Padang yang diaturkan FELDA menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan bintang Album Komuniti.

“Kita mempunyai keyakinan dengan adanya acara Wayang Padang tahun ini membabitkan 312 lokasi, ia mampu menarik minat penduduk FELDA untuk datang menonton Wayang Padang.




“Wayang Padang ini ibarat mini Jom Heboh yang menyediakan platform untuk mempromosikan Album Komuniti” katanya.

Ditanya sejauh mana keyakinannya sambutan pembeli terhadap album ini, Azmeer berkata, walaupun jualan album fizikal di pasaran tidak memberangsangkan, namun Album Komuniti ini dilihat mempunyai potensi untuk mencipta kembali era kegemilangan penjualan album.

“Kita kena ingat FELDA mempunyai beberapa syarikat subsidi juga korporat yang berkemampuan untuk membelinya secara pukal lalu diberikan kepada kaki tangan mereka atau diberikan kepada penduduk di FELDA,” katanya.

Bercerita mengenai konsep album, ia mengetengahkan lagu-lagu melodi Melayu selain diselitkan unsur-unsur lagu rakyat.

Selain Az­meer,­ turut terbabit dalam pembikinan album ini adalah Sani Sudin, Harun Ahmad dan Mozihan Tukimon.
Previous Post Next Post