Autumn Dihatiku 2 kembali



SETELAH mendapat sambutan yang memberangsangkan pada musim pertama dengan jumlah penonton mencecah hampir sejuta, kini Autumn Dihatiku kembali dengan musim ke-2.

Masih mengekalkan teraju utama yang sama, Autumn Dihatiku 2 (ADH2) bakal ditayangkan bermula 27 Februari, setiap Isnin hingga Jumaat jam 12 tengah hari.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Media Prima Digital Lam Swee Kim, kejayaan musim pertama membuatkan pihaknya teruja untuk menawarkan sebuah lagi siri musim baharu komedi romantik yang merupakan sebahagian daripada perancangan Media Prima Digital untuk terus menerbitkan pelbagai variasi siri web original di Tonton.




“Kami begitu gembira dapat bekerjasama dengan Garnier menerusi siri ini yang mana penonton akan disajikan dengan pelbagai lagi siri web TV antaranya Sukan, Biopic dan adaptasi novel bermula Mei ini.

“Dengan episode baharu di www.tonton.com.my/autumn dihatiku ini, penonton juga diberi dua kejutan di mana Tonton bakal menawarkan 60 jemputan eksklusif ke ‘final screening’ bersama para pelakon di TGV 1 Utama pada 22 Mac ini dan sesi Meet&Greet bersama pelakon,” katanya.

Taruhan bintang baharu

Dalam pada itu, tambah Swee Kim, jika sebelum ini drama ADH2 memperkenalkan Kim Jin Sung, jejaka Korea yang fasih bertutur Bahasa Melayu, bagi siri kedua pula, mereka mengambil keputusan untuk memperkenalkan seorang gadis Korea sebagai penyeri.

Katanya, Youmie Robert, 15, merupakan gadis kacukan Perancis dan Korea yang mula bertapak sebagai model kira-kira enam bulan yang lalu.

“Ini merupakan pengalaman pertamanya dalam bidang lakonan. Youmie memegang watak sebagai Summer, tunangan kepada Autumn, lakonan Kim Jin Sung dan merupakan pemilik sebuah bakeri juga ‘musuh’ kepada Nina.

“Kami yakin dengan taruhan watak baharu, drama ini menjadi tarikan buat penonton,” katanya.

Autumn Dihatiku 2 meneruskan kesinambungan musim pertama apabila Nina yang solo dan kini kembali menguruskan perniagaan bakeri. Selain memendam rasa rindunya terhadap Zidick dan Autumn (Kim Jin Sung), Nina perlu berhadapan dengan pesaing perniagaannya.

Sebuah kedai bakeri milik Summer (Youmie Robert) baharu sahaja dibuka dan menarik perhatian ramai pelanggan.

Susulan itu, Nina, Jaja (Ezzaty Abdullah) dan rakan mereka, Ramon (Iedil Putra) mula merancang strategi untuk mengatasi pesaing perniagaan mereka, yang juga merupakan seteru Nina dalam merebut perhatian Autumn.
Previous Post Next Post