Awi Rafael tak makan hati



KETIKA Awi Rafael dan pelakon Hanez Suraya masih bercinta ramai yang tumpang gembira dengan perancangan mereka untuk melanjutkan hubungan itu ke gerbang perkahwinan.

Biarpun tidak pernah dikhabarkan bilakah tarikh untuk mereka bersatu, kedua-duanya mendapat restu dan sokongan ramai yang melihat mereka umpama pasangan yang sempurna dan saling melengkapi.

Tapi itu cerita dulu. Telah berpisah sekitar pertengahan tahun lepas setelah menjalin cinta selama setahun.

Terkini bekas kekasihnya itu hadir dengan perkhabaran akan mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihannya, seorang ahli perniagaan pada tahun ini.




Berita mengenai Hanez itu bagaimanapun tidak sampai ke pengetahuan Awi sehinggalah hal itu dimaklumkan kepadanya oleh pihak media.

"Sejujurnya saya sendiri memang tak tahu berita mengenai dia nak berkahwin itu. Apabila ditanya dan diberitahu oleh teman-teman media, barulah saya tahu," kata Awi yang kelihatan tenang menerima berita itu.

Berharap Hanez menemui kebahagiaan yang dicari kata Awi, dia bersyukur kerana akhirnya bekas teman wanitanya itu menemui jodohnya.

"Baguslah dia nak kahwin. Syukur pada Allah SWT dan semestinya saya akan mendoakan kebahagiaan dia.

"Sebenarnya selepas berpisah, kami memang sudah tak berhubung lagi. Tapi kami okey saja. Adalah sesekali bertemu di majlis keramaian atau program hiburan.

"Tapi setakat senyum dan bersapa ringkas sajalah. Selepas itu masing-masing buat hal sendiri. Memang saya sudah tidak ambil tahu fasal dirinya lagi," katanya.

Sengaja mengusik mengenai status dirinya yang kini mungkin sudah punya pacar baru kata Awi, dia lebih selesa hidup solo buat waktu ini.

Pun begitu tidak bermakna dia tidak merancang untuk berkahwin dan mempunyai keluarga sama seperti orang lain.

"Sebab itulah saya sibukkan diri dengan kerja sekarang. Hidup saya untuk diri, keluarga dan kerjaya saya sahaja.

"Saya berusaha keras sekarang supaya nanti bila tiba masa untuk berkahwin, saya cuma mahu memberikan segala kesenangan kepada isteri saya yang tugasnya menjaga saya dan keluarga.

"Kalau nak kahwin, mestilah kena kumpul duit dulu bukan? Jadi sekarang ini kerja sajalah," katanya.

Awi terdesak?

Dalam pada itu kata Awi, dia kini sedang ‘terdesak’ mencari penyanyi dan pelakon baru berbakat dan berkualiti untuk bernaung di bawah syarikatnya, Runaway Productions Sdn.Bhd. yang telah beroperasi sejak setahun yang lalu.

"Antara projek sulung di bawah Runaway Production adalah filem Bravo selain filem Tuli Sekampung yang akan memulakan penggambarannya tidak lama lagi.

"Untuk mengembangkan lagi syarikat ini, saya memerlukan bakat-bakat baru untuk bernaung di bawahnya. Setakat ini saya ada Girls Republic yang dianggotai oleh Iqa Mentor dan dua orang baru.

"Saya buka peluang ini untuk semua orang. Tapi pastikan diri benar-benar berbakat dan ada kebolehan. Kalau mahu jadi penyanyi, buktikan diri memang layak dipanggil penyanyi. Kalau mahu jadi pelakon, buktikan anda juga layak jadi pelakon.

"Kalau rasa ada kualiti. datang jumpa saya," katanya.

Mengaku bahawa dirinya tidak mungkin mampu menjadi seorang pelakon kata Awi, kerana itulah dia lebih suka membuat kerja-kerja di belakang tabir.

"Saya mengaku memang tak boleh berlakon biarpun dah ramai yang bertanya mengenainya. Saya ini lebih cenderung ke arah bidang pengurusan dan muzik. Berlakon tak mungkin," katanya lagi.
Previous Post Next Post