Debaran Teaterikal Suara Kita



KIRA-KIRA empat hari lagi, Panggung Sari, Istana Budaya bakal digegarkan dengan pementasan yang julung kalinya menggabungkan tiga nama besar iaitu Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain menerusi 'Konsert Teaterikal Suara Kita'.

Sudah pasti persembahan ini amat dinanti-nantikan peminat yang sudah lama merindui kemunculan mereka bertiga seperti mana yang popular hampir 20 tahun lalu.

Apa yang menariknya, persembahan ini juga bakal membawa penonton mengimbau nostalgia lama menerusi beberapa babak menarik dalam lima filem popular seperti Sembilu, Sembilu II, Merah,
Tragedi Oktober dan Maria Mariana.




Masih rancak menjalani sesi latihan di Istana Budaya, ketiga-tiga nama besar ini nyata komited dan mengharapkan yang terbaik pada malam persembahan yang julung kalinya menggandingkan mereka di pentas berprestij itu.

Awie percaya Erma Fatima

Akui masih berdebar, kata Awie membawa tiga watak dalam satu pementasan bukanlah sesuatu perkara yang mudah buat dirinya.

“Saya pegang tiga watak di mana setiap satunya berbeza karakter, tapi ia digarap menjadi satu persembahan dan ia memang bagi cabaran buat saya.

“Bagaimanapun, dengan adanya kepakaran Erma Fatima selaku pengarah, saya percaya persembahan ini akan menjadi sangat menarik untuk ditonton,” katanya.

Awie yang juga bertindak sebagai penerbit persembahan memberitahu secara keseluruhan persiapan untuk konsert ini telah dijalankan sebanyak 70 peratus.

“Apa yang boleh saya katakan penonton yang hadir tidak akan rugi kerana dengan satu tiket mereka akan dihiburkan dengan dua persembahan iaitu nyanyian dan juga lakonan.

“Saya menyeru kepada peminat yang membesar dengan lakonan kami sebelum ini untuk hadir kerana Insya-ALLAH ia akan menjadi satu persembahan yang baik untuk tatapan halwa telinga mereka,”
ujarnya.

Erra menyanyi demi peminat

Biarpun sudah lama tidak muncul dalam karier nyanyian, demi menjayakan pementasan ini, Erra bakal menyampaikan beberapa lagu untuk menghiburkan penonton yang hadir.

Menurutnya, dalam pementasan kali ini, peranannya lebih kepada persembahan lakonan berbanding nyanyian.

“Sebenarnya, saya lebih rela jika diberi tanggungjawab menghafal dialog berbanding menyanyi.

“Tapi dalam pementasan ini, saya ada juga menyanyi. Cuma tidak sebanyak Awie dan Ziana yang akan menyampaikan lagu-lagu popular mereka.

Tambahnya, dalam persembahan lakonan, dia akan memegang dua karakter iaitu sebagai ‘Watie’ dan juga ‘Maria’.

“Saya sangat teruja melakonkan semula watak-watak ini kerana kalau diikutkan pada zaman inilah karier saya bermula.

“Banyak kenangan yang boleh dikongsi bersama penonton. Jadi saya memang tidak sabar untuk lakukannya,” ujarnya.


Ziana kerja keras

Rindu dengan zaman kegemilangannya sebelum ini, membuatkan Ziana begitu komited menyampaikan persembahan yang terbaik buat penonton.

“Boleh dikatakan, sehari lebih 12 jam kami bekerja. Bangun setiap pagi untuk buat promosi dan sebelah petang pula kami akan berlatih untuk persembahan lakonan dan juga nyanyian.

“Tapi disebabkan rindu dan minat, saya lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan mengharapkan penonton akan terhibur dengan apa yang kami lakukan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai lakonan, Ziana memberitahu, pementasan itu tidak lari daripada skrip asal.

“Persembahan ini tidak terlalu serius kerana ada beberapa elemen menarik seperti komedi turut diselitkan supaya penonton lebih terhibur.

“Bagaimanapun, ia tidaklah begitu berbeza dengan skrip asal kerana itulah kekuatan dan nostalgia yang melekat dalam hati peminat selama ini,” katanya.
Previous Post Next Post