Drama Dendam 5 Beradik Di Astro

Angkara dendam, seseorang itu boleh melakukan apa saja semata-mata mahu melepaskan amarah yang terbuku di dada. Itu baru seorang, ba­yangkan jika ia membabitkan banyak pihak?

Elemen itulah yang difokuskan dalam drama bersiri terbaru terbitan Astro Box Office Movies Tayangan Hebat (saluran 953) berjudul Dendam 5 Beradik yang lari dari kebiasaan konsep drama tempatan lain.

Mendapat sentuhan pengarah berbakat Along Kamaludin, siri ini bukan bertunjang­kan kepada kisah cinta, komedi atau drama semata-mata, sebaliknya banyak merungkai kisah jenayah.

Namun pada masa yang sama drama yang mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini tetap mengetengahkan unsur komersial.


BARISAN pelakon dan produksi siri Dendam 5 Beradik.


Menonton sendiri previu drama berkenaan baru-baru ini, pendekatannya ada persamaan dengan kisah penyiasatan dalam me­nyelesaikan kes jenayah seperti dalam siri drama antarabangsa terkenal Crime Scene Investigation (CSI).


Ditanya mengenai pembabitan PDRM dalam siri berkenaan, Along berkata, pembabitan pihak berkuasa itu sebenarnya ba­nyak memudahkan kerja penggambaran.

“Pada mulanya, saya agak mung­kin sukar mendapat kerjasama daripada polis namun saya tersilap kerana mereka memberikan kerjasama sepenuhnya untuk siri ini.

“Ia termasuklah me­nyediakan senjata yang diperlukan sepanjang penggambaran. Saya memang terharu dengan komitmen 100 peratus daripada mereka,” katanya.

Turut menimbulkan persoalan ialah durasi sepanjang 110 minit untuk satu episod drama ini dilihat menyamai sebuah filem.

Bagi Along, durasi tayangan itu berbaloi memandangkan ia ditayangkan menerusi saluran eksklusif dan ada penonton yang mahukan cerita lebih panjang.




Dendam 5 Beradik me­ngisahkan mengenai lima beradik iaitu Suffian lakonan Datuk Eizlan Yusof, Haniff (Shah Jaszle), Watie (Ana Dahlia), Mikhail (Shukri Yahaya), Sal­ly (Sharifah Sakinah) dan Ray (Sobri Anuar) yang melakukan satu perancangan paling rapi untuk menuntut bela di atas kematian bapa mereka.

Bapa mereka dibunuh kejam di depan mereka ketika masing-masing masih kecil. Ia mengakibatkan dendam menguasai diri lima beradik itu.

Dendam 5 Beradik bakal ditayangkan bermula 1 Mac ini dan disiarkan seba­nyak enam episod.


Shah Jaszle kahwin hujung tahun

Pelakon yang melakonkan watak Haniff ini ketika ditemui mengakui sedang menghitung hari untuk menamatkan zaman bujangnya dengan tunang, Redzwani Puteri.

Selepas namanya terpalit arang gara-gara kontroversi kes khalwat baru-baru ini, Shah tampak lebih tenang.

“Semuanya masih dalam perancangan kerana banyak perkara perlu diselesaikan termasuk menghadiri sebutan kes di mahkamah April ini.

“Lagipun, tunang saya masih lagi belajar dan setakat ini kami merancang perkahwinan ha­nya akan berlangsung pada hujung tahun ini,” katanya.

Bersyukur kerana meskipun dilanda kontroversi ternyata tidak menjejaskan periuk nasinya, Shah juga mahu fokus sepenuh­nya terhadap kerjaya buat masa ini dan baru melantik adiknya sebagai pengurus.

“Sekarang saya diuruskan adik sendiri dan memang jadual sangat padat. Saya juga amat bersyukur selepas kontroversi berkenaan, tawaran nampaknya semakin banyak,” kata­nya.
Previous Post Next Post