Dynas Mokhtar Ketawa Besar Digosip Bercerai



SELEPAS dikejutkan dengan berita perceraian Erra Fazira, dunia hiburan sekali lagi dicuit dengan berita kononnya pengacara serta pelakon cantik , Dynas Mokhtar bakal berpisah dengan suaminya, Hafizy Hafiz. Bertemu Dynas pada majlis pelantikan sebagai duta rangkaian baru Johnson Baby Milk and Rice di Pusat Membeli-belah Mydin USJ, Subang, ternyata wanita ini cukup tenang menerangkan keadaan sebenar hubungannya dengan suami.

Berhadapan dengan berita yang sama sejak empat tahun lalu, Dynas melihat ini tidak lebih dari harga yang perlu dibayar untuk berada dalam industri ini.




Hits: Ada khabar mengatakan perkahwinan Dynas dalam masalah, sejauh mana kebenarannya?

Dynas: Saya masih di sini, anak-anak pun ada bersama-sama saya. Suami pun masih berhubung dengan saya. Tentang cerai, saya tidak tahu, kamulah beritahu saya. Jujurnya saya sudah melalui perkara yang sama sejak empat tahun lalu.

Bukan isu kecil yang tersebar kali ini, katanya kalian sudah sampai ke peringkat mahkamah?

Kamu pasti artis yang dimaksudkan itu saya? Jujurnya tiada ada apa yang perlu saya katakan. Sejak beberapa tahun lalu saya asyik baca benda yang sama. Mungkin ini harga yang perlu saya bayar untuk berada dalam industri ini.

Mungkin Dynas tidak terlalu terbuka berkongsi gambar suami di laman Instagram menyebabkan khabar angin ini terus timbul. Zaman sekarang, kebahagiaan perlu dipertontonkan di laman sosial, betul tak?

Dia tidak suka ambil gambar. Kalau dia tangkap gambar pun, dia akan buat muka. Kalau lihat dalam Instagram milik dia, pun bukan ada gambar dia.

Macam Dynas sendiri mungkin tidak terkejut dengan khabar angin seperti ini, bagaimana pula dengan Fizy?

Saya memang tunjukkan kepada dia berita itu, kami hanya ketawa berdua. Dia memang tidak ambil tahu langsung soal ini.

Mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan kepada mereka yang terus-teruskan mengugat kesabaran anda?

Saya tidak ada perkara yang mahu diulas. Apa yang saya tahu, soal rumah tangga adalah sesuatu yang perlu kami simpan di rumah, biar semuanya berlaku di rumah dan tidak perlu dibawa keluar. Jadi saya tidak perlu jelaskan apa-apa.

Melihat penglibatan anak-anak Dynas dalam dunia komersial sejak kecil lagi, adakah Dynas selesa dengan keadaan ini.

Saya juga melalui perkara yang sama sejak kecil lagi saya sudah terlibat dalam dunia pengiklanan. Untuk anak-anak, ayah mereka juga setuju. Dan saya fikir tidak salah memandangkan mereka juga dapat wang atas usaha mereka ini.
Previous Post Next Post