Erra Fazira Perceraian kedua lebih menyakitkan



BERKECAMUK dalam rasa yang lebih banyak ditelan daripada diluahkan, kekuatan yang terbina bertahun dahulu terpancar pada wajah Erra Fazira. Saat matanya berkaca, dia masih mampu tersenyum. Hambar atau tawar, manis dan kelat yang bersulam pahit, seboleh-bolehnya, segala yang dilalui mahu dikunci kemas. Kuncinya dibuang jauh ke gunung dan laut terbentang.

Namun, sudah namanya selebriti tersohor, disebut orang sebagai primadona, Erra tidak boleh menolak tuntutan media. Setidak-tidaknya untuk seketika, dia harus juga bersemuka bagi merungkaikan persoalan biarpun apa yang tersimpan sekian tahun itu yang sudah terungkai di kamar mahkamah.

Tanggal 18 Februari lalu, kira-kira sembilan hari selepas usianya genap 40 tahun, pelakon yang masih mahal di hati rakyat Malaysia itu menerima sebuah takdir. Barangkali takdir itu telah lama tertulis di Luh Mahfuz. Dia kembali menjunjung status janda, sebuah status yang semahu-mahunya dihindari banyak wanita.




Erra dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin, sah bercerai talak satu. Hak penjagaan anak tunggal mereka, Engku Aleesya diberikan kepada Engku Emran manakala Erra pula diberi hak bermalam dan lawatan bersama. Sepintas lalu, keputusan itu jarang berlaku dalam mana-mana penceraian apabila Erra juga memohon untuk tidak diberikan nafkah sepanjang edah dan mutaah. Erra dikatakan tenang sedangkan sewaktu Emran melafazkan talak kepadanya, lelaki yang juga bapa kandung kepada anaknya itu kelihatan sebak.

Seperti tinta nyanyiannya, Yang Terindah Hanya Sementara, Erra menghela nafas panjang kemudian kembali menyedutnya dalam-dalam. Reda dan pasrah yang berbutir di bibirnya kedengaran mudah, namun di jauh di sudut sanubari, ada sebak yang bersenandung hiba.

"Tenang atau tidak, gelora atau berkecamuk, itu hal dalaman saya, dan kita tak boleh menghakimi perasaan orang lain dengan penglihatan mata kasar. Ada yang meraung kala sakit, ada pula yang sekadar bertahan, setiap orang ada cara dan saya dengan cara sendiri.


ERRA bertegas tidak mahu soal anak dan perjanjian luar mahkamahnya bersama bekas suami diungkit pihak media.

Perjanjian rahsia

"Saya ada banyak benda saya harus difikirkan. Saya mungkin tidak perlu meratap tapi itu tidak bermakna saya tidak sedih. Kita tak tahu air mata itu di mana dan kapan keluarnya. Tetapi, saya berada di sini bukan untuk bercerita tentang air mata. Saya tak mahu kisah sedih diulang-ulang kerana saya juga memerlukan semangat.

"Jadi, saya nak sibukkan diri saya, saya juga menantikan detik untuk bersama dengan anak saya dan tidak mahu diganggu ketika itu. Selebihnya tentang kerja," ungkap Erra yang ditemui sekitar pukul 11 malam, pada hari yang sama setelah statusnya sebagai isteri terlucut secara rasmi.

Ketika dadanya bergelora banyak hala, Erra harus melunaskan sebuah lagi pengakuan. Dia rela isi jiwanya diluahkan namun tidak mudah ditelanjangkan atas nama keterbukaan. Hidup ini harus diteruskan. Sebab itulah, selang tidak sampai dua jam selepas sidang mahkamah selesai, Erra sudah bergegas masuk studio rakaman sebuah program bual bicara di Shah Alam.

"Orang nampak di luar dan tidak tahu apa yang ada dalam hati saya. Apa yang saya lakukan sekarang ini kerana tugas. Agaknya kalau saya tiada kerja hendak dilakukan, saya akan melepak di rumah melayan perasaan. Ini semua bahagian saya, saya kena hadapi dengan reda," kata Erra yang kebetulan sedang sibuk sesi latihan sebuah konsert di Istana Budaya bermula 3 hingga 9 Mac ini.

Pelakon yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia itu bagaimanapun tidak berhasrat untuk bercerita lanjut tentang kata sepakat bersama bekas suami yang telah dipersetujui di luar mahkamah.

"Semua sudah terlerai, kami telah berbincang dan kedua-dua pihak sudah bersetuju. Saya mohon agar terma-terma dan isi perjanjian kami itu tidak ditanya secara terperinci.

"Jadi saya pun sudah tidak berhutang dengan masyarakat dan rakan-rakan media. Itu semua sebenarnya sudah berapa lama mengganggu saya, tapi saya ada alasan tersendiri kenapa perkara ini harus dipendamkan. Sekarang semua orang boleh teruskan kehidupan masing-masing, subjek ini telah ditutup," Erra tenang menjawab persoalan ketika ditemui usai rakaman Primadona di Shah Alam, pada malam 18 Februari lalu.

Ditanya tentang tempoh berdalih itu dan ini dan kemudiannya mengunci mulut, menafikan tidak mengiakan pun tidak, jelas Erra setiap manusia harus ada batasan keterbukaan. Sebagai wanita, ibu, isteri bahkan selebriti yang beritanya diburu segenap inci, dia juga punya alasan tersendiri kenapa soal peribadi harus ditatang kemas-kemas. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.


ENGKU EMRAN mendapat hak jagaan anaknya, Engku Aleesya.

"Saya ada alasan tersendiri, alasan yang bukannya mementingkan saya seorang sahaja tetapi alasan yang melibatkan banyak pihak. Orang ramai tidak perlu tahu apakah alasan itu kerana masalah dalaman dan keluarga adalah peribadi," kata Erra tidak mahu pekung di dada dibuka seluas-seluasnya hanya kerana dia bergelar selebriti.

Menjadi artis, disayangi atau dibenci sudah menjadi lumrah. Keprihatinan peminat yang mahu melihat bahagianya berpanjangan amat difahami Erra, namun, retak perkahwinan yang dibina bersama Emran sejak 25 Oktober 2007 itu sudah tidak mampu disambung lagi.

Menangis dua malam

"Saya tidak mahu bercakap banyak dan harap ini yang terakhir saya bercerita begini. Orang boleh cakap macam-macam tetapi kita yang menghadapi. Jangan kata kami tidak berusaha untuk menyelamatkan keadaan. Siapa yang mahukan perpisahan tetapi kami akur dengan perpisahan ini kerana kami telah berusaha," kata Erra sambil menekap mata.

Malam itu, tiada titis jernih jatuh ke pipinya, namun Erra mengakui, tangisannya sudah mencurah lebat ketika dua malam sebelum lafaz cerai berlangsung Selasa lalu.

"Saya sebenarnya sudah lama reda, ikatan suami isteri boleh putus kerana perceraian, tapi bukan ikatan dengan anak," ujar Erra terhenti-henti.

Mendapat kekuatan hasil dorongan keluarga dan rakan-rakan, kata Erra tanggal 18 Februari menjadi hari paling bersejarah buatnya namun tidak boleh lemah apatah lagi rebah.

"Saya ada tanggungjawab terhadap keluarga, anak dan pekerja saya. Kalau saya rebah, kalau saya menangis, kalau saya lembik, siapa nak tolong saya nanti.

"Kadang-kadang tanpa dinafikan, kita ini nampak kuat, tapi bila orang sudah tidak ada, saya akan lembik dan menangis tertonggeng juga, cuma orang tidak tahu," beritahu Erra lega.

Banyak kekecewaan dalam hidup, pernah bercinta dan putus tunang, pernah berkahwin dan bercerai, berkahwin lagi dan bercerai lagi. Bukan sembarangan rasanya kekecewaan yang dihadapi Erra selama ini.

"Saya pandang positif. Waktu zaman muda remaja dahulu, kita gila bila putus cinta, gila bila putus tunang, kenapa semua ini berlaku, rupa-rupanya Tuhan mahu melatih saya. Kalau tidak pernah merasa kekecewaan, bagaimana hendak melalui kekecewaan dan ujian lebih teruk pada masa akan datang.

"Tuhan Maha Kaya, saya antara insan yang dipilih oleh Allah untuk diuji dan diuji lagi. Doa saya moga terus kuat pada masa hadapan. Terfikir juga apa lagi ujian yang bakal saya hadapi, tapi jujurnya, saya tak mahu terlalu berfikir soal itu, risau jadi takut," titip Erra yang sudah merasai dua detik perceraian dalam hidupnya.

Pertama dia bercerai dengan Yusry Abd Halim pada tahun 2006 hanya setelah tiga tahun berumah tangga dan kali ini, perkahwinannya bersama Emran terlerai dalam tempoh enam tahun.

"Dahulu saya tidak mempunyai anak, sekarang ada anak, lain keadaannya. Dalam perkahwinan pun, gagal yang pertama, kita mahu betulkan semasa perkahwinan kedua, tapi bila perkahwinan kedua pun hancur juga, sakitnya lain macam," tutup Erra.
Previous Post Next Post