Iedil Putra Nafi Guna Pengaruh Abang



Pelakon, Iedil Putra menafikan dia menggunakan nama abangnya iaitu Tengku Iesta Tengku Alauddin yang merupakan Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd untuk mengembangkan kerjayanya dalam bidang seni.

“Bagi saya kehadiran saya dalam bidang seni ini adalah untuk kerja serta minat yang mendalam dalam lakonan. Saya ingin dikenali kerana kredibiliti saya sebagai seorang pelakon malah saya juga melalui sesi ujibakat untuk mendapat sesuatu kerja itu,” ujar Iedil ketika ditemui di majlis pelancaran Autumn Di Hatiku 2 di Restoran The Bee, di sini, petang Khamis.

Iedil atau nama penuhnya,Tengku Iedilzuhri Putra Alauddin memulakan kerjaya seawal usia 8 tahun lagi. Namun, dia lebih aktif menerusi pementasan teater yang bersifat indie. Jelas jejaka ini dia enggan menggunakan pengaruh sesiapa sebaliknya lebih selesa untuk mementingkan profesionalisme dalam kerjaya.




Selain berkecimpung dalam bidang lakonan, Iedil juga sudah mula berjinak-jinak sebagai pengacara menerusi program Ryujin Juwara. Ia merupakan sebuah program kanak-kanak 26 episod untuk slot Bananana TV3.

“Alhamdulillah respons yang diberikan terhadap program tersebut begitu memberangsangkan. Episod pertama juga mencatatkan rating sebanyak 1000 penonton dan saya gembira dengan kejayaan tersebut. Malah ada juga kanak-kanak yang ingin bergambar dengan saya dan saya selesa dengan situasi dengan tersebut,” katanya.

Dalam masa yang sama, pemuda berusia 28 tahun ini juga mempunyai sebuah syarikat,Playground Production yang merupakan perkongsian bersama beberapa orang rakannya. Dia dan rakan-rakannya menyimpan impian untuk menghasilkan pelbagai idea kreatif serta berkualiti bagi mewarnai lagi industri seni tempatan.
Previous Post Next Post