Pencarian 'The Band' Tidak Eksploitasi Wanita


Khairul Anwar Salleh (tengah) bersama mereka yang terlibat dalam 'The Band'.

Program The Band, yang mencari bakat baharu berkonsepkan kumpulan pop tidak akan mengeksploitasikan wanita dengan memperkenalkan imej seksi untuk menarik perhatian penonton.

Naib Presiden Bahagian Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, walaupun The Band ingin mencari dua buah kumpulan (lelaki dan wanita) terbaik seperti One Direction dan Pussycat Dolls, yang mengutamakan pakej wajah sebagai nilai komersial namun pihaknya tetap akan menjaga batas-batas mengikut budaya Malaysia.

"Menerusi The Band, kami ingin cari bakat baru yang berkonsepkan seperti kumpulan di Hollywood iaitu One Direction atau The Pussycat Dolls mahupun seperti kumpulan K-Pop iaitu Girls Generation.




"Tetapi pihak kami tidak akan mengeksploitasikan peserta wanita dengan mendedahkan mereka ke arah imej seksi. Ia tidak sesuai dengan budaya kita.

"Cuma diakui, kami lebih mementingkan pakej wajah berbanding bakat nyanyian kerana ingin mencari personaliti yang boleh menarik perhatian umum," katanya.

Khairul ditemui pada majlis pelancaran program pencarian bakat baharu, The Band di Souled Out, Menara HSC di sini petang Isnin.


Juri 'The Band'. Dari kiri;; Aznil, Syafinaz dan Yusry.

Tambah Khairul, bagi peserta yang kurang berkebolehan dalam nyanyian, mereka akan diajar teknik nyanyian yang betul dalam program tersebut oleh Damian Mikhail (vokal).

Guru tari profesional, Alam Wakaka dan Wahyu Rahman pula bertindak sebagai perunding imej dan gaya.

The Band merupakan program baharu Astro Ria mencari gabungan penghibur untuk membentuk sebuah kumpulan pop lelaki dan wanita.

Para peserta akan dinilai daripada sudut personaliti, kemahiran dan aura dalam menentukan kumpulan pop terbaik yang berjaya ke peringkat akhir di mana seramai enam penyanyi lelaki dan enam penyanyi wanita akan dipilih bagi membentuk dua kumpulan The Band Malaysia.

"Setakat ini kami sudah pun membuat uji bakat pada September tahun lalu di mana kami turut membuka peluang ini kepada peserta dari Indonesia dan Singapura.

"Ia bertujuan bagi meluaskan pasaran muzik tempatan pada masa akan datang nanti. Dan setakat ini 80 peserta sudah pun dipilih untuk melalui ujian-ujian lain sebelum membuat pemilihan 36 peserta terbaik," ujarnya.

Beritahu Khairul, selepas 36 peserta (16 perempuan dan 16 lelaki) dipilih, mereka akan membuat persembahan secara berkumpulan dan setiap minggu ahli-ahli kumpulan akan bertukar ganti.

Barisan peserta akan dinilai secara individu dengan menggunakan khidmat iaitu Datuk Aznil Nawawi, Yusry Abdul Halim dan Syafinaz Selamat.

Pengacara Awal Ashaari pula akan mengendalikan program berkenaan manakala penyampai radio Era FM iaitu Shaw ditugaskan mengacara diari Whazzup The Band bagi memberi laporan aktiviti harian peserta.

Bermula 31 Mac depan, The Band akan mula menyiarkan program tersebut dari Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam.

Ia diikuti pula Whazzup The Band yang akan bersiaran pada setiap Jumaat (pukul 9 malam). Konsert The Band pula akan disiarkan pada hari Sabtu, pukul 10 malam.

Program ini disiarkan secara rakaman manakala pada peringkat akhir, ia akan disiarkan secara langsung.

Kemuncak acara ini menyaksikan undian penonton sebanyak 30 peratus manakala 70 peratus adalah oleh pihak juri.
Previous Post Next Post