Rossa bakal hibur setiausaha


REZEKI di Malaysia amat disyukuri Rossa.

UNTUK ke sekian kalinya, diva terkenal Indonesia, Datuk Rossa bakal berkunjung lagi ke negara ini bagi mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha. Walaupun dia baru sahaja menjayakan konsert Malam Gala Cinta Tanpa Sempadan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu, ia tidak menjejaskan hasrat penaja untuk memilih untuk berkerjasama dengan Rossa.

Empunya nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani akan menghiburkan para setiausaha dan peminatnya di Hotel Royale Chulan Damansara pada 9 April ini.

Bertemakan Atas Nama Cinta... A Tribute To Secretaries, Rossa tidak tampil solo pada majlis makan tengah hari itu, tetapi bakal ditemani oleh pasangan duetnya menerusi lagu Salahkah iaitu Hafiz Suip.

Pada sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini, Rossa berkata dia begitu teruja dengan tawaran penganjur memandangkan persembahan itu nanti lebih berkonsepkan santai dan relaks.




"Saya suka dengan gaya persembahan yang santai kerana ia memberi peluang kepada peminat untuk mendekati diri saya. Ketika persembahan itu, saya akan pergi dari meja ke meja supaya berpeluang merakamkan gambar serta bermesra bersama peminat.

"Tidak seperti di konsert besar, jarak antara pentas dan penonton agak jauh dan ia membataskan pergerakan saya untuk lebih dekat dengan peminat," katanya.

Dalam pada itu, Rossa memberitahu bahawa persembahan selama satu jam setengah itu akan me­nyaksikannya mendendangkan 12 lagu popular berserta gimik yang akan memberi kejutan kepada peminat serta kelainan dalam persembahannya.

"Selain itu, ada persembahan mengejutkan menanti penonton. Bukan itu sahaja, disebabkan Minggu Setiausaha selalunya membabitkan wanita, saya akan fikir jenis persembahan sesuai untuk dibawa nanti," kata­nya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel The Royale Chulan Damansara, Badrul Rezal Baharudin berkata, pemilihan Rossa untuk maj­lis jamuan tengah hari Ming­gu Setiausaha adalah atas permintaan ramai.

Jelas beliau, harga tiket bermula dari RM500 hingga RM1,500 berbaloi kerana Rossa dan Hafiz adalah artis terkenal, selain terdapat hadiah menarik seperti tiket penerbangan pergi-balik ke Amsterdam dan Jakarta tajaan KLM menanti tetamu.

Justeru, bagi peminat Rossa dan Hafiz, tiket boleh dengan menghubungi talian 03-79599000 (sambungan 9190) atau emel ke ticket@trcd.com.my.
Previous Post Next Post