Santai tonton Ramli Sarip

Dalam banyak-ba­nyak persembahan Datuk Ramli Sarip yang pernah saya tonton sebelum ini, rasanya persembahan beliau di dewan Hall Of Fame, Hotel Hard Rock, Pulau Pinang malam kelmarin adalah yang paling santai.

Dengan dewan berkeluasan sederhana dan penonton tidak sampai 200 orang, persembahan istimewa Ramli sempena siri jelajah Blues Buat Teman Tour 2014 itu dapat ditonton dengan lebih tenang dan fokus.


Jika bosan duduk di kerusi yang disediakan, saya berdiri sambil bersandar di dinding atau mundar-mandir di sekitar dewan menyaksikan gelagat penonton.

Selain itu, saya boleh duduk bersila atau melunjurkan kaki di lantai dewan sambil menghayati Ramli mendendang­kan 16 lagu dalam tempoh hampir satu setengah jam itu tanpa sebarang gangguan atau rasa tidak selesa.


MASIH gah di pentas pada usia 62 tahun.


Namun sebagai pe­nyanyi profesional, Ramli tetap komited dengan persembahannya tidak kiralah beliau menya­nyi di depan 20,000, 2,000 atau dua orang penonton.


Hasilnya, malam itu beliau bersama band pengiringnya Soul Journey yang dibarisi pemuzik berpengalaman seperti Man Kidal (gitar), Aji (gitar), Ritz (gitar), Tom Anuar (dram), Fauzie Zain (bass), Din Safari (bass), Roza Rasul (keyboard) dan Paang Zaman (percussion) berjaya memberikan satu persembahan mantap dan hebat.

Sebahagian besar penonton yang juga peminat tegar Ramli dan Sweet Charity berusia dalam ling­kungan lewat 30-an hingga 50-an jelas terhibur.

Ramli membawakan lagu-lagu dari album solonya seperti Doa, Kenyataan, Tajam, Irama Kasih, Blues Felda Blues, Akal vs Jiwa, Keliru, Istilah Bercinta, Panah Beracun, Adam & Hawa dan Jikalau Berkasih.




Ini termasuk lagu-lagu popularnya bersama Sweet Charity seperti Di Tahun 2000, Musibah, Dunia Perlumbaan, Teratai dan Kamelia.

Menurut Ramli, lagu Doa dan Kenyataan dari album solo Bukan Kerna Nama dan Istilah yang dirakam hampir 30 tahun lalu itu tidak pernah dibawakan dalam mana-mana persembahan sebelum ini.

Pulau Pinang adalah destinasi kedua jelajah Blues Buat Teman Tour selepas di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu.

Selepas ini ia akan menjelajah ke beberapa lokasi di seluruh negara iaitu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu pada 7 Mac depan sebelum ke Kemaman dan Melaka. Jelajah kemudian diteruskan ke Ipoh, Johor Bahru dan berakhir di Kuala Lumpur pada 5 April depan.

Siri jelajah ini bertujuan membantu rakan-rakan pemuzik seperti pemain dram Search, Yazit Ahmad yang mengalami masalah buah pinggang dan pemain bass Black Dog Bone, Hamid yang sebelah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan virus serta keluarga pemain gitar Lefthanded, Allahyarham Abdul Samad Mian.

Sebahagian dari kutipan tiket akan disalurkan kepada pemuzik terbabit, malah pemuzik yang meng­iringi persembahan Ramli juga sanggup memotong sebahagian daripada bayaran mereka untuk disalurkan ke tabung berkenaan.

Jom Saksikan Gambar Konsert Beliau
Previous Post Next Post