SRK, Madhuri teruja di Malaysia



MEMANG tidak sia-sia gelaran Datuk yang diberikan kerajaan Melaka terhadap Shah Rukh Khan (SRK). Ikon tersohor Bollywood ini bukan sahaja pandai memikat hati rakyat negara ini, malah kemesraan serta keserasian dirinya dengan Malaysia makin terserlah.

Malah, sempena kunjungan SRK khusus untuk Konsert Temptation Reloaded in Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini juga merupakan peluang buat figura berusia 48 tahun ini melepaskan kerinduan terhadap makanan kegemarannya, Sate.

"Saya suka dengan semua makanan Malaysia terutama sekali ayam yang dicucuk menggunakan lidi itu (sate)," ujar SRK dalam sidang akhbar yang berlangsung di Hotel The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SRK yang menzahirkan keterujaannya sekali lagi menjejakkan kaki ke negara ini turut mengakui banyak benda yang dirindui sejak kali terakhir ke negara ini pada Disember tahun lalu iaitu ketika meraikan hari lahir Tun Mahathir Mohamad.

"Paling sukar saya lupakan, sudah tentu keindahan Malaysia, kemesraan penduduknya dan juga makanan-makanannya terutama sekali, sate. Sungguh, saya memang suka makan sate," ujarnya.




"Saya berasa selesa dan disayangi apabila datang ke Malaysia. Perasaannya adalah seperti apabila saya keluar dari rumah (tetapi tetap selesa), walaupun tidak memahami apa yang dituturkan oleh orang di sekeliling," selorohnya yang disambut dengan tepukan dan gelak ketawa daripada pihak media yang hadir pada hari itu.

Terdahulu, dalam sidang akhbar bersempena konsert tersebut, hero filem pecah panggung, Kuch Kuch Hota Hai itu mengundang persoalan media tentang keupayaannya untuk beraksi pada konsert tersebut.


SHAH RUKH KHAN dan Madhuri menguasai pentas Konsert Temptation Reloaded in Malaysia.

Ia ekoran kecederaan kaki yang dialaminya ketika menjalani penggambaran filem terbaharu arahan Farah Khan, Happy New Year di Mumbai, India sebelum ini.

Namun, semangat dan daya profesionalisme SRK ternyata cukup tinggi.

Dia hadir dengan bertongkat pada sidang akhbar tersebut, namun itu tidak sedikit pun memperlihatkan dirinya sedang menanggung kesakitan.

Malah, wajahnya kelihatan cukup ceria. Aura seorang bintang mega dalam dirinya ternyata tetap bersinar penuh gemilang, biarpun dirinya dilanda musibah.

"Walaupun kaki saya sakit dan masih belum sembuh sepenuhnya, saya akan menghiburkan anda semua sebaik mungkin. Saya akan melakukan apa sahaja untuk peminat saya di sini," katanya.

Tambah SRK, kecederaan itu bukan alasan untuk memberikan persembahan terbaik dalam konsert yang sudah dirancang sejak tahun lalu.

Konsert tersebut turut mengundang dua aktres tersohor Bollywood, Madhuri Dixit dan Rani Mukherji.

Namun, hanya Madhuri yang hadir pada sidang akhbar tersebut bersama SRK. Sementara Rani, menurut SRK, belum tiba di Malaysia pada ketika itu.

Madhuri tolak pujian

Keterujaan jelas sekali turut dirasai Madhuri, sementelah ini merupakan pengalaman kali pertama dia menjejakkan kaki di Malaysia.

"Saya sungguh teruja dapat datang ke Malaysia. Sebelum ini, saya pernah mendengar tentang Malaysia daripada suami saya. Dia pernah datang ke Malaysia sekitar 15 tahun lalu.

"Namun, saya pasti Malaysia sekarang sudah banyak berubah berbanding cerita yang saya dengar daripada suami," ujarnya.


KOLABORASI mantap Rani, SRK dan Madhuri.

Berkesempatan bercuti selama dua hari di Pulau Pinang, ujar Madhuri, negeri itu sangat cantik dan dia juga teruja untuk melihat Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur serta tempat-tempat menarik lain di Malaysia.

Madhuri juga melahirkan rasa kagum kerana negara ini masih mengekalkan kehijauan hutan dan itu baginya, merupakan lambang dan kekuatan Malaysia.

Heroin filem Dil To Pagal Hai juga mengakui teruja kerana dapat membuat persembahan di Malaysia disebabkan ia merupakan gandingan pertama kalinya bersama SRK dan Rani.

"Shah Rukh Khan juga merupakan aktor idola saya dan saya teruja dapat bergandingan dengannya di atas pentas," luahnya.

Disoal mengenai wajahnya yang tidak dimamah usia biarpun kini umurnya mencecah 47 tahun, Madhuri menolak pujian itu.

Ujarnya: "Saya ada kedutan pada bahagian mata. Tetapi saya terharu dan gembira dengan peminat-peminat yang sentiasa menyokong saya daripada dahulu sehingga kini.

"Saya teruja apabila peminat melaung-laung nama saya selepas saya turun daripada kapal terbang tempoh hari. Macam mana anda menyayangi saya, kalian juga akan disayangi seperti itu oleh saya."
Previous Post Next Post