Tidak Hanya Menyanyi, Indah AF2013 Kini Berlakon



Sudah lama tidak mendengar berita mengenai bekas pelajar AF2013, Indah, khabarnya dia kini sudah berjinak-jinak dengan dunia lakonan.

Menurut Indah, ramai tidak mengetahui tentang perkembangan seninya selepas tamat pengajian di ‘Akademi Fantasia 2013’ (AF2013).

“Saya akui ramai yang tidak tahu tentang perkembangan saya selepas tamat pengajian di AF2013… Saya masih lagi aktif menyanyi seperti biasa.

"Bukan saya mendiamkan diri cuma saya jarang muncul di kaca televisyen.

“Jadi saya berterima kasih kepada pihak yang tawarkan saya berlakon dalam telefilem ' Nikah Kita Bercinta'… Pelbagai reaksi yang saya terima dan tidak kurang juga ada peminat yang terkejut,” katanya ketika ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein mengakui pada mulanya dia agak sukar untuk berlakon kerana banyak bermain dengan ekspresi wajah.

“Baru saya tahu bidang lakonan ini agak sukar berbanding nyanyian kerana untuk menghidupkan watak kita perlu banyak bermain dengan ekspresi muka dan lenggok badan.




“Walaupun saya hanya berlakon beberapa babak sahaja tapi banyak yang saya telah belajar… Cuma yang tak tahan tu penat sebab berlakon mengambil masa yang lama untuk dapatkan ‘angle' yang berlainan.

“Macam-macam yang terjadi pada saya seperti tersasul cakap, muka tak ada emosi, ish! Banyaklah… Tapi itu semua pengalaman dan saya rasa seronok pula berlakon,” ujarnya.

Namun penyanyi berusia 27 tahun ini menambah, buat masa ini dia tidak serius untuk menceburi bidang tersebut kerana mahu lebih fokus terhadap nyanyian yang merupakan minatnya sejak dari kecil lagi.

“Memang tak dinafikan Indah ada terima lagi tawaran untuk berlakon tetapi saya perlu fikirkan dahulu kerana saya tidak mahu kerjaya nyanyian Indah terganggu.

“Sebab saya khuatir saya tidak dapat memberikan tumpuan, saya tidak mahu kedua-duanya dibuat dengan sambil lewa seperti melepaskan batuk ditangga… Jadi biarlah saya bermula secara perlahan-lahan,” katanya.

ARTISMELETOP: Semoga bakat Indah lebih terserlah pada masa hadapan. Sementara tu meh kita layan MV Percayalah dari Indah

Previous Post Next Post