Zara Zya tolak cinta lokasi

Pembabitan Zara Zya, 29, dalam dunia lakonan bukan baru. Malah sejak usia remaja lagi, Zara atau nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, mula berlakon, namun selepas sembilan tahun mencuba nasib baru sekarang bakatnya menjadi sebutan umum

Segalanya bermula dengan ‘penangan’ drama bersiri Love You Mr.

Arrogant yang diminati ramai sehingga membolehkan dia meraih anugerah Artis Baru MeleTop dan Anugerah MeleTop Era (Wanita) yang diputuskan menerusi undian peminat.

Sebagai pelakon yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni, Zara yang ditemui baru-baru ini, tidak menafikan Love You Mr Arrogant banyak membantu membuka mata peminat terhadap bakatnya.




Kata Zara, watak Zara Aamirah lakonannya bercinta dengan Mr Arrogant (Azlee Khairi) juga menjadi antara daya tarikan sehingga mereka berdua muncul sebagai bintang baru.

Malah katanya, ketaksuban peminat terhadap kisah cinta dua watak itu menyebabkan ada yang mengharapkan percintaan antara mereka turut berlaku.


ZARA ingin raikan kejayaan bersama peminat.


“Tanggapan seperti itu menyebabkan timbul gosip mengatakan saya dan Azlee kini hangat dilamun cinta.

Hakikatnya hubungan cinta atau skandal seperti diperkatakan ramai orang itu tidak pernah berlaku.

Sebaik penggambaran selesai, saya dan Azlee tidak pernah berhubungan, apatah lagi keluar bersama.

“Saya sendiri kalau boleh mahu mengelak daripada terjerumus dalam situasi diperkatakan iaitu cinta di lokasi di bawa ke luar.

Saya sendiri tidak pernah terfikir mengenainya dan sebagai pelakon, saya sentiasa mengingatkan diri apa yang dilakukan ini lakonan semata-mata.

“Waktu sama sebagai pelakon yang bekerja dalam tempoh panjang, hubungan terjalin antara kami sudah seperti keluarga.

Saya bukan saja rapat dengan pelakon lain, juga dengan kakitangan produksi.

Untuk kata kami bercinta atau jatuh cinta, itu tidak mungkin,” katanya.

Apa pun kata Zara, tanggapan seperti itu tidak dapat dielakkan malah ada antara peminat yang bertemu dengannya menyatakan secara terus terang bahawa mereka suka jika dia dan Azlee benar-benar bercinta.

“Saya selalunya menyatakan apa yang mereka saksikan itu hanya berlaku dalam drama dan bukan di luar.

Saya tidak salahkan mereka kerana apabila menonton drama Love You Mr Arrogant, keserasian antara kami memang kuat.

Ia membuatkan peminat terbawa-bawa hingga sekarang walaupun tayangannya sudah lama tamat.

“Situasi yang dialami sekarang bukan saja membabitkan diri saya dan Azlee saja malah mana-mana pelakon yang drama mereka diminati ramai turut melalui pengalaman sama,” katanya.

Pada usia sekarang, Zara akui masa terbaik untuknya memikirkan soal teman hidup.

Kalau bukan Azlee menjadi pilihan, apakah Zara sudah mempunyai pilihan hati sendiri? Kata Zara, kerjaya seninya baru hendak berkembang dan dia tidak mahu memikirkan soal kekasih dan berkahwin dalam waktu sekarang.

“Buat masa ini biarlah saya memberi tumpuan kepada kerja terlebih dulu.

Namun kalau sudah ditentukan jodoh saya datang, itu saya tidak boleh menolak.

Tetapi dalam keadaan tidak ada komitmen lain sekarang ini, biarlah saya memberi tumpuan kepada kerjaya lakonan sepenuhnya,” katanya.

Kata Zara, populariti diraih juga membolehkan dia mempunyai kelab peminat digelar Love Zara Zya FC.

Zaya akui mereka juga banyak membantu bagi memastikan kemenangan besarnya di Anugerah MeleTop berlangsung 8 Februari lalu.

Malah wang kemenangan RM15,000 juga akan diperuntukkan sebahagiannya untuk meraikan ahli Love Zara Zya FC sebagai penghargaan terhadap sokongan mereka.
Previous Post Next Post