Ziana Zain Teruja Disunting Awie



“Ketika Awie ‘meminang’ saya dan menyuarakan hasratnya untuk mengadakan sebuah konsert yang menggandingkan kami bertiga (Awie, Erra dan Ziana), saya sangat teruja. Sementelah lagi saya disunting dulu sebelum Erra!

“Keterujaan itu menyebabkan saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju dengan ‘pinangan’ Awie itu dan secara spontan bertanya kembali kepadanya, ‘Erra setuju kah’?, kata Ziana Zain ketika ditanya mengenai perasaannya ketika dipelawa untuk menjayakan Konsert Teaterikal Suara Kita.

Ziana Zain ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia tidak sabar-sabar lagi untuk beraksi di pentas konsert pada Isnin (3 Mac) depan.

“Seronok sebenarnya melihat turun naik hubungan Awie dan Erra muda-muda dulu, sekarang detik itu dikembalikan semula seperti satu reunion.

Memang inilah yang ditunggu-tunggu oleh peminat yang membesar dengan filem Sembilu contohnya dan ini hadiah kami untuk penyokong setia selama ini,” katanya gembira.




Rindu dengan zaman kegemilangannya sebelum ini, membuatkan Ziana begitu komited menyampaikan persembahan yang terbaik buat penonton.

“Boleh dikatakan, sehari lebih 12 jam kami bekerja. Bangun setiap pagi untuk buat promosi dan sebelah petang pula kami akan berlatih untuk persembahan lakonan dan juga nyanyian.

“Tapi disebabkan rindu dan minat, saya lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan mengharapkan penonton akan terhibur dengan apa yang kami lakukan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai lakonan, Ziana memberitahu, pementasan itu tidak lari daripada skrip asal.

“Persembahan ini tidak terlalu serius kerana ada beberapa elemen menarik seperti komedi turut diselitkan supaya penonton lebih terhibur.

“Bagaimanapun, ia tidaklah begitu berbeza dengan skrip asal kerana itulah kekuatan dan nostalgia yang melekat dalam hati peminat selama ini,” katanya.

Para peminat Awie, Ziana dan Erra yang mahu menonton semula babak-babak nostalgia yang dipetik daripada lima buah filem popular seperti Sembilu, Sembilu II, Merah, Tragedi Oktober dan Maria Mariana dapatkan tiket di http://ticket2u.biz/

Konsert menelan kos sebanyak RM1.4 juta terbitan Awie Entertainment Sdn Bhd ini bakal berlangsung selama seminggu bermula 3 hingga 9 Mac depan.

Konsert Teaterikal Suara Kita juga mendapat sentuhan Erma Fatima sebagai pengarah bersama, penerbit Azmi Zainal Abidin sebagai Pengarah Produksi dan komposer Edrie Hashim sebagai pengarah muzik.


Masih rancak menjalani sesi latihan di Istana Budaya, ketiga-tiga nama besar ini nyata komited dan mengharapkan yang terbaik pada malam persembahan yang julung kalinya menggandingkan mereka di pentas berprestij, Panggung Sari Istana Budaya.

Untuk kepuasan pembaca Astro Gempak yang disayangi, kami kongsikan video sewaktu sesi temuramah portal murai.com.my bersama Ziana Zain di Hotel Royal Chulan baru-baru ini:

Previous Post Next Post