Artis berpuisi sempena Hari Bumi



Dalam Islam ada menyatakan, sebagai khalifah di muka bumi kita dituntut untuk menjaga, mengekalkan alam semula jadi dan mengelak daripada berlakunya kerosakan terhadap bumi. Sebabnya bumi dan segala khazanah­nya adalah warisan yang akan ditinggalkan oleh kita buat generasi yang akan datang.

Justeru, sempena Hari Bumi yang disambut pada 31 Mac ini, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) tampil menganjurkan program Jom Baca Puisi (Lagu dan Nyanyian Puisi Hari Bumi/ Kemanusiaan) yang akan berlangsung di Pekara­ngan Jalan Raja (berdepan Panggung Bandaraya) Dataran Merdeka.


Pengarah Cawangan Komunikasi Korporat JKKN, Ezlina Alias berkata, program berlangsung selama dua hari bermula hari ini, 29 Mac dan Ahad, 30 Mac, akan menampilkan barisan artis popular, orang ramai dan tetamu kenamaan khas termasuk Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli sendiri.

“Sebenarnya program ini diadakan oleh JKKN secara berjadual bertujuan mempromosi program seni budaya dan barisan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dengan seni. Menerusi program ini mereka dapat memasarkan produk keluaran mereka seperti kraf dan lukisan.




“Program hari ini adalah pembuka tirai 2014 dan kebetulan pula dekat dengan Hari Bumi. Jadi kami memutuskan untuk mengadakan acara ini buat orang ramai termasuk pelancong-pelancong asing. Ia akan berlangsung selama dua sesi iaitu pada jam 5 petang hingga 6.30 petang dan jam 9 malam hingga 10.45 malam,” katanya.


Ezlina berkata, kebiasaannya program ini membabitkan aktivis puisi kerana ia platform untuk mereka mengembangkan bakat. Bagaimanapun, JKKN teruja apabila beberapa artis terkenal menyatakan kesediaan untuk terbabit secara sukarela dalam program ini.

“Setakat ini, mereka yang menyatakan persetujuan ialah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Khir Rahman, Namron, Ebby Yus, Yus Jambu, Ramasundram dan ramai lagi. Manakala, barisan pemuisi ialah Khalid Salleh, Ladin Nuawi dan Amran Ibrahim Rashidi.

“Sebenarnya orang ramai juga boleh terbabit dengan program ini jika mahu. Mereka boleh baca puisi nukilan sendiri ataupun puisi yang ditulis penulis popular. Kami memberikan kebebasan sepenuhnya untuk sama-sama terbabit dengan aktiviti ini. Kami mahu semua masyarakat mengambil bahagian.

“Datuk Norliza juga menyokong aktiviti sebegini dan akan terbabit pada hari Ahad. Beliau akan membaca puisi bertemakan kemanusiaan dan mungkin menulis sendiri puisi itu. Malah kami juga berharap tetamu kenamaan lain sudi hadir dan terbabit dengan program ini,” katanya.
Previous Post Next Post