Astrid berduet dengan Tim Hwang


ASTRID gembira kerana lagu-lagunya mula diterima pendengar di Malaysia.

SATU dekad catatan perjalanan karier nyanyian Astrid Sartiasari, ditandai dengan album keduanya iaitu Terpukau. Ia merupakan album kedua yang baru beberapa minggu dipasarkan di Malaysia manakala, di Indonesia ia merupakan album ketiganya.

Tempoh 10 tahun yang diambil Astrid untuk melebarkan sayap ke Malaysia barangkali cukup lama, namun ungkap penyanyi berasal dari Surabaya, Indonesia itu, peminat-peminat di Malaysia sudah mengenali dan sering mendengar lagu-lagunya seperti Tentang Rasa (lagu daripada album pertamanya) dan Mendua (album terbaharu, Terpukau).




“Ada yang bertanya kepada saya kenapa setelah 10 tahun baru datang ke Malaysia. Memang saya mula menyanyi di Indonesia sejak tahun 2003. Sudah 10 tahun. Namun, baru kini saya berkesempatan memasuki pasaran Malaysia dengan lagu yang sesuai.

“Mungkin sebelum ini lagu-lagu saya terlalu berat dan tidak sesuai untuk didengar bagi pasaran Malaysia.

“Saya juga bersyukur kerana lagu Tentang Rasa dan kini Mendua sering didengari di Malaysia,” tuturnya lembut ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya, Terpukau di Neway Karaoke Box, One Utama, Petaling Jaya.

Mengulas mengenai pembuatan album Terpukau, ia memakan masa lebih dari setahun dan ia menunjukkan perubahan hidupnya secara menyeluruh.

“Pembuatan album kali ini benar-benar berbeza kerana proses rakaman dilakukan mulai daripada saya hamil sehingga saya melahirkan anak pertama, Alec Djuara Djoewarsa, setahun dua bulan. Biasanya bagi wanita hamil akan mengalami morning sickness (alahan) tetapi saya diberi keupayaan menyiapkan album ini dengan jayanya walaupun saat itu saya sudah ingin bersalin,” ulasnya.

Beruntung bagi ibu kepada anak lelaki itu apabila tidak ada sebarang halangan selama proses pembuatan album tersebut. Malah, Astrid menganggap pembikinan album Terpukau sangat istimewa.

Album tersebut berisi 11 lagu yang pemilihannya didasarkan pada suara dan kecintaannya pada muzik pop.

Tema galau masih begitu kental dalam album kali ini. Buktinya lagu Mendua giat diputarkan di corong-corong radio Indonesia dan mendapat maklum balas positif di Malaysia.


ASTRID dan Tim Hwang.

Tim Hwang

Lebih istimewa, selain lagu Mendua, terdapat satu lagu balada bahasa Korea, duet Astrid bersama penyanyi Korea Selatan, Tim Hwang.

Kesempatan kolaborasi itu diambil saat penyanyi Korea itu memasarkan lagunya di Indonesia. Ia diberi judul Saranghapnida.

“Saya menyanyikan lagu tersebut dalam bahasa Indonesia manakala Tim Hwang menyanyikannya dalam bahasa Korea. Lagu itu sebenarnya milik Tim Hwang dan ia cukup popular di Korea. Dalam ramai penyanyi saya beruntung kerana dipilih untuk berduet dengan Tim Hwang,” ujar Astrid merendah diri.

Lagu Saranghapnida itu juga merupakan lagu runut bunyi bagi sinetron (drama), berjudul Saranghae I Love You, lakonan Tim Hwang bersama aktres popular Indonesia iaitu Revalina S Temat.

Selain lagu Mendua dan juga Saranghapnida, turut terkandung dalam album Astrid itu adalah Terpukau dan juga lagu yang diciptakan bersama suami, Arlan Djoewarsa untuk anak mereka iaitu Lagu Untuk Anakku.

Sheila Majid

Terlanjur berbicara tentang anaknya, Alec, Astrid mengakui teruja melihat perkembangan anaknya yang kini menginjak usia setahun dua bulan.

Kata Astrid, Alec sudah boleh berjalan dan bertutur walaupun bahasanya tidak difahami Astrid.

Belum lagi terfikir untuk menghasilkan anak kedua, luah Astrid, anaknya masih kecil dan masih memerlukan kasih sayang sepenuhnya daripadanya.

“Biar satu tetapi berkualiti,” jelasnya yang masih menyusu anaknya dengan susu badan.

Kali kelima hadir ke Malaysia, Astrid turut disoal bilakah dia ingin mengadakan konsertnya di Malaysia.

“Saya teringin sekali untuk mengadakan konsert di Malaysia. Buat masa ini sedang dalam perbincangan untuk saya berduet dengan seorang penyanyi Malaysia. Tetapi saya tidak boleh beritahu lagi kerana ia masih dalam proses perbincangan,” ujarnya yang teringin untuk berduet dengan penyanyi Sheila Majid.

JOM LAYAN MV TERPUKAU DARI ASTRID

Previous Post Next Post