Awal Ashaari Buka kafe untuk masa depan


SELAIN terkenal sebagai selebriti, Awal juga begitu cekap di dapur.

SELAMA ini kelibat Awal Ashaari sudah acap kali dapat dilihat di kaca televisyen, sama ada ketika mengacara atau berlakon, tetapi pasti ramai yang tidak menyangka dia memiliki bakat dalam bidang kulinari.

Malah, aksinya ketika memasak dan menyediakan pelbagai jenis hidangan dapat disaksikan oleh penonton menerusi program masakan How To Make It: Culinary Dreams yang akan disiarkan di saluran Asian Food Channel (AFC) 703 bermula 9 April ini pada pukul 8 malam sebanyak enam episod.

Bertemu dengan Awal semasa majlis pelancaran program berkenaan di Kolej Universiti KDU, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, dia memberitahu bahawa dirinya seorang yang gemar kepada makanan.

"Saya telah dibesarkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, sebuah lokasi yang memang cukup terkenal kerana memiliki banyak restoran yang popular serta menjadi tumpuan penduduk di sekitar Lembang Klang.




"Jadi, kehidupan yang dilalui ketika dibesarkan di situ telah memberi peluang kepada saya untuk menikmati pelbagai jenis makanan yang dijual. Boleh dikatakan hidup saya begitu meriah dengan makanan sahaja," ujarnya.

Menurut Awal, memandangkan minatnya yang cukup mendalam tentang pemakanan, ia telah memberi ilham kepada dirinya untuk membuka sebuah kafe yang terletak di The Curve, Petaling Jaya.

Ujarnya, ketika ini tapak kafe yang dibelinya itu sedang menjalani kerja-kerja ubah suai. Dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada bulan Mei ini, kafe yang dibukanya itu akan menjual makanan seperti kek, snek serta beberapa lagi jenis hidangan yang belum ditentukan lagi.

Bagaimanapun, dia mendedahkan bahawa keinginannya untuk membuka sebuah kafe bukan disebabkan minatnya terhadap makanan semata-mata, tetapi ia sebagai persediaan untuk masa depan.

"Saya dan isteri selalu terfikir sampai bila kami akan terus berkecimpung dalam bidang hiburan ini. Jadi, kami banyak berbincang tentang perancangan yang perlu dilakukan untuk jangka masa panjang.

"Ada yang mencadangkan supaya membuka sebuah syarikat produksi, tetapi kami tidak berminat dengan perniagaan tersebut. Kami lebih sesuai bekerja di depan kamera berbanding belakang tabir," ujarnya yang masih belum menetapkan lagi nama kafenya itu.

Menyedari tentang menjalankan perniagaan makanan agak berisiko memandangkan sudah beberapa orang seleberiti sebelum ini yang terpaksa menutup perniagaan mereka, Awal menegaskan, dia bersedia berhadapan dengan segala cabaran.

Jelasnya, setiap perniagaan mempunyai risikonya tersendiri, tetapi apa yang lebih penting ialah sesebuah perniagaan yang dijalankan itu perlu diuruskan dengan baik serta menyajikan makanan yang enak kepada pelanggan.

"Pasti akan ada tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa perniagaan yang dijalankan oleh seseorang selebiriti tidak bertahan lama. Namun begitu, saya ketepikan semua tanggapan negatif tersebut dan fokus terhadap perniagaan saya nanti.

Enam minggu

Bercerita tentang pembabitannya dalam program How To Make It: Culinary Dreams yang diterbitkan dengan kerjasama Kolej Universiti KDU dan IMI University Centre, Awal berkata, tawaran berkenaan diterima pada bulan November 2013.

Menurutnya, dia pernah menerima beberapa tawaran untuk program masakan sebelum ini, tetapi ia tidak mampu menarik minatnya sehinggalah dia dihubungi oleh pihak AFC.

"Apabila saya dihubungi oleh wakil AFC, mereka memberitahu bakal menerbitkan sebuah program masakan dan menyatakan minat untuk mengambil saya menyertainya.

"Bagaimanapun, salah satu faktor yang membuatkan saya cukup tertarik menerimanya apabila diberitahu, ia sebuah program yang dikhususkan kepada selebriti yang ingin menjalankan perniagaan makanan. Secara kebetulan pula saya memang merancang membuka sebuah kafe," jelasnya.

Ujar Awal, untuk menyertai program berkenaan dia perlu menghadiri kelas kulinari selama enam minggu di Kolej Universiti KDU dan segala aktivitinya semasa di dalam kelas serta dapur dirakam dan disiarkan menerusi program berkenaan.

"Walaupun sekadar menjalani kursus selama enam minggu, namun banyak pengalaman dan ilmu yang saya peroleh. Selain mempelajari tentang masakan, saya juga diajar tentang perkhidmatan dan pemasaran," ujarnya yang enggan dikenali sebagai chef selebriti.


AWAL (lima dari kanan) bersama para pelajar dan tenaga pengajar di Kolej Universiti KDU, Petaling Jaya ketika menyertai kursus kulinari jangka pendek selama enam minggu yang berakhir baru-baru ini.

Banyak membaca

Memandangkan isterinya, pelakon Scha Alyahya kini sedang hamil lima bulan, pengacara Melodi itu turut ditanya tentang persediaannya untuk bergelar seorang bapa.

Akuinya, dia agak gementar apabila melihat perut isterinya itu yang semakin membesar saban hari. Berkenaan persiapan kelengkapan barangan bayi pula, tidak banyak lagi barang kelengkapan bayi yang dibeli.

"Mengenai persediaan menjadi seorang bapa, sekarang ini saya lebih banyak membaca buku yang berkaitan dengan pengetahuan tentang bayi memandangkan ini merupakan pengalaman kami yang pertama.

"Ia merupakan perkara yang sangat penting kepada bakal bapa seperti saya. Misalnya, mengetahui tentang penyakit yang senang dihidapi oleh bayi agar memudahkan saya mengesan lebih awal sekiranya berlaku sesuatu terhadap bayi kami nanti," ujarnya.

Berkenaan dengan jantina pula, Awal mendedahkan pada awalnya dia memang ingin mendapat anak lelaki. Namun begitu, kini dia langsung tidak kisah tentang jantina, asalkan bayi yang dikandung isterinya itu lahir dengan selamat.
Previous Post Next Post