Deanna Yusoff Kini Jadi Usahawan Pelancongan 5 Bintang



KUALA LUMPUR, 28 MAC 2014: Pelakon cantik berwajah pan Asia, Deanna Yusoff,47 kini sedang berjinak-jinak dalam perniagaan berasaskan pelancongan yang dapat memberi kepuasan kepada individu yang gemar mengembara.

Ditemui selepas majlis pelancaran produk penjagaan rambut, Pureology di G-Tower di sini semalam, Deanna Yusoff tampak bersungguh-sungguh dalam memperkenalkan perusahaan terbarunya itu kepada beberapa selebriti terkenal.

Menurut pelakon Anna and The King itu, kerjaya barunya itu memberikan peluang kepada individu yang gemar mengembara ke lokasi seluruh dunia dengan harga paling berpatutan tetapi mewah.

“Pendekatan yang saya tawarkan ini memberi kelebihan kepada mereka yang mendaftar untuk menikmati tawaran harga berpatutan untuk mana-mana destinasi atau hotel pilihan mereka.




“Bayangkan mereka akan ditempatkan di hotel bertaraf lima bintang di mana-mana saja, layanan lima bintang, bagaimanapun harga yang perlu mereka bayar adalah sama sebagaimana untuk hotel bertaraf tiga bintang,” katanya kepada portal murai.com.my teruja.

Mula berjinak-jinak dengan perusahaan berkenaan sejak beberapa bulan lalu, Deanna Yusoff berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk memberikan taklimat terperinci berkenaan kelebihan serta tawaran yang diberikan kepada mereka yang berminat.

Walaupun masih baru, dia percaya kerjaya barunya itu akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap pengguna terutama sekali kepada mereka yang sering mengidamkan suasana percutian mewah dah bertaraf lima bintang.

“Kami menyediakan taklimat dua kali dalam seminggu dan sekiranya ada pihak yang mahu kami sendiri datang untuk menerangkan perkhidmatan yang kami sediakan, ianya amatlah dialu-alukan dan kami sedia bertemu mereka,” katanya.

Beberapa artis popular seperti Ning Baizura dan Vanida Imran telah menunjukan minat mereka untuk merasai pengalaman bercuti gaya mewah yang disediakan oleh syarikat perkhidmatan pelakon cantik berkenaan.
Previous Post Next Post