Ezzaty Abdullah Belum Terfikir Untuk Berkahwin



Pelakon Ezzaty Abdullah yang kini sedang menyulam bahagia dengan jejaka yang merisiknya baru-baru ini mengakui dia dan teman lelakinya itu belum merancang untuk mendirikan perkahwinan dalam waktu terdekat ini.

“Alhamdulillah, hubungan kami berjalan lancar. Dia sudah pun merisik saya, namun untuk ke peringkat seterusnya iaitu bertunang atau berkahwin, kami masih belum punya perancangan ke arah itu. Saya dan teman lelaki sendiri tidak meletakkan umur yang spesifik untuk kami berkahwin,” ujar Ezzaty yang ditemui di lokasi penggambaran filem ‘Antara Satu’ di Pulau Langkawi, Kedah.

Jelas Ezzaty, teman lelakinya yang merupakan seorang kontraktor sangat memahami dirinya dan kerjayanya sebagai seorang pelakon. Ketika ditanya adakah dia tidak takut namanya yang kini sedang meningkat naik tenggelam apabila dia mendedahkan yang dirinya sudah mempunyai kekasih, gadis lulusan bidang perhotelan Universiti Teknologi Mara ini punya pendapat tersendiri.




“Kalau orang di luar sana menilai hasil kerja saya, kenapa saya perlu takut? Saya rasakan orang tidak kisah sama ada saya sudah punyai teman atau pun tidak kerana saya hadir mewarnai industri untuk mempertaruhkan bakat dan bukan sekadar menjual rupa. Saya ikhlas dalam menjalankan pekerjaan saya sebagai seorang pelakon dan saya sangat berharap agar orang lain menilai saya menerusi hasil lakonan dan bakat,” tutur gadis asal Bentong, Pahang ini.

Dalam pada itu, Ezzaty juga turut menyatakan kesyukurannya kerana kerjaya seninya untuk tahun 2014 ini berjalan dengan begitu baik sekali.
“Saya bersukur kerana untuk tahun 2014, kerjaya seni saya telah bermula dengan baik. Alhamdulillah, tawaran lakonan setakat ini belum putus dan saya akan berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam setiap karya yang saya jalankan,” ujar Ezzaty lagi.

Drama bersiri ‘Cinta Agra’ lakonan Ezzaty bersama Kilafairy dan Shah Iskandar kini sedang ditayangkan di TV2 manakala drama komedi ‘Besan Tiga Segi’ gandingan Ezzaty bersama Hairi Safwan, Khatijah Tan, Kartina Aziz dan ramai lagi kini sedang disiarkan di TV3.
Previous Post Next Post