Filem 'Lu Gua, Bro!'


SEBUT saja nama Zalif Sidek dan Epy Kodiang, pastinya penonton sudah dapat meneka lakonan mereka.

Kembali bergandingan menerusi filem terbaharu Metrowealth International Group (MIG) 'Lu Gua, Bro!, lakonan mereka pastinya akan menggeletek dan mencuit hati penonton.

Bukan hanya berdua, filem tersebut turut menampilkan bintang baharu, Nina Iskandar, sebagai penyeri menerusi filem ke-93 terbitan MIG itu.

Zalif terima cabaran




Atas cabaran penerbit MIG, Mejar (K) David Teo , Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 28, nekad untuk menghasilkan naskah filem komedi bersama rakan baiknya, Epy Pelakon Jangan Pandang Belakang Boleh, itu berkata, keserasian mereka berdua antara faktor utama David memberi kepercayaan untuk menggalas tanggung jawab yang besar dalam filem komedi itu.

"Selepas itu, saya berbincang dengan Epy mengenai skrip dan jalan cerita filem ini. Pelbagai idea kami fikirkan termasuk aksi, percintaan, seram dan akhirnya bersetuju dengan komedi santai.

"Walaupun kebanyakan idea Epy, saya turut menyumbang dalam 30 peratus skrip untuk filem ini," katanya.

Mereka kemudiannya membentangkan konsep filem itu kepada David dan tidak menyangka idea tersebut disambut baik oleh penerbit MiG itu.

"Selepas berbincang, David bersetuju untuk menzahirkan skrip tersebut ke layar perak.

"Pada mulanya kami agak terkejut dan tidak percaya bahawa idea ini diterima. InsyaALLAH, kami akan melakukan yang terbaik untuk filem ini," ujarnya.

Bercerita mengenai wataknya sebagai Yu, Zalif berkata persahabatannya bersama Mi (Epy) bermula sejak kecil sehingga dewasa.

Katanya, mereka menghabiskan masa bersama dan hubungan rapat itu diibaratkan adik beradik.

"Namun hubungan persahabatan itu tergugat dengan kehadiran gadis kampung bernama Hawa.

"Hawa menjadi kegilaan ramai jejaka kampung termasuk saya, sehingga menjadi penyebab hubungan dengan Epy berantakan akibat cemburu," kata Zalif.

Jangkitan kuman di jantung

Anak jati Kuala Terengganu ini turut mendedahkan situasi getir yang terpaksa dilaluinya akibat jerebu yang melanda negara ini.

Menurut Zalif, dia berdepan dengan masalah kesihatan yang agak serius dan terpaksa ditahan wad akibat jangkitan kuman di jantung.

"Ketika itu saya menjalani penggambaran telefilem bertajuk 'Kem Cuci Tangan' di Tanjung Bidara Beach resort, Melaka.

"Telefilem arahan Dharma Aizat ini 'shoot' di kawasan pantai dan jerebu masih lagi belum reda.

"Kemudian saya pulang sebentar ke Kuala Lumpur untuk menolong keluarga pindah rumah, saya mula batuk-batuk dan sukar bernafas," katanya.

Bermula dari situ, Zalif mengalami kesukaran bernafas dan diserang penyakit asma yang agak serius.

"Bayangkan tujuh kali saya terpaksa ambil oksigen dan terpaksa meninggalkan lokasi untuk ke pusat kesihatan.

"Malah tiga kali saya bertukar hospital kerana terikat dengan jadual penggambaran dari Hospital Kem Terendak, Hospital Pakar Melaka kemudiannya Hospital Sungai Buloh," ujar Zalif yang sehingga kini masih mendapat rawatan kesihatan.

Epy pilih pengarah

Sementara itu, Epy Kodiang atau nama sebenarnya Muhammad Hanafi Rusmadi, 22, meluahkan rasa teruja setelah ideanya untuk menghasilkan naskah filem ini diterima baik oleh David.

"Dia (David) bertanyakan mengenai perkembangan semasa dan projek akan datang saya. Setelah mendengar bahawa saya tidak mempunyai sebarang perancangan ketika itu, dia menyuruh saya untuk menulis skrip filem.

"Tidak mahu mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan, saya terus menulis skrip dengan bantuan Zalif," katanya.

Sambung Epy, filem berkonsep komedi sudah lama bersarang dalam fikirannya sejak dari dahulu lagi.

Katanya, dia mahu membikin filem berdasarkan suasana dan persekitaran babak yang belum pernah ditampilkan dalam filem tempatan.

"Pemilihan pengarah pula, saya pilih abang Bob (Ismail Hashim) sebagai pengarah kerana kepakarannya dalam syot komedi yang sangat menarik," kata anak kelahiran Kedah itu.

Menerusi watak Mi, Epy berkata dia sangat menyayangi (Yu) dan hubungan mereka sangat rapat sejak daripada kecil lagi.

"Plot cerita berkembang setelah Mi cemburu dengan rakannya, Yu yang tidak lagi melayaninya sejak mempunyai teman wanita.

"Dari situ, hubungan mereka semakin jauh sehingga keduanya terlibat dengan satu aktiviti jenayah secara tidak langsung," katanya yang turut menghasilkan empat lagi skrip untuk filem MiG, antaranya Kitai dan Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa.

ARTISMELETOP : Kahwin tiga tahun lagi

Ditanya bila lagi akan menamatkan zaman bujang, Epy memberitahu, dia merancang untuk arah itu dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Buat masa ini, saya ingin menumpukan perhatian dalam kerjaya dahulu sebelum meminang anak dara orang.

"Saya masih muda dan banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum kahwin," tegasnya.

Biarpun tidak menyorok status 'sudah berpunya', Epy menegaskan dia dan teman wanita kini masih dalam proses kenal hati budi masing-masing sebelum ke fasa lebih serius.

"Lagipun perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Kita harus ada perancangan baik agar perkahwinan yang dibina berkekalan," katanya.

Kekok jadi gadis kampung- Nina

Satu-satu penyeri dalam filem ini, Nina Iskandar meluahkan rasa teruja dapat berlakon bersama-sama Zalif dan Epy.

Katanya, dia sering menjadi bahan usikan keduanya sepanjang penggambaran filem tersebut.
Menurut gadis berusia 23 tahun ini, dia memainkan watak yang serius bersesuaian dengan personalitinya yang lemah-lembut dan pemalu.

"Perangai mereka yang gila-gila membuatkan saya selesa dan seronok dapat berlakon bersama. Tambahan, pihak produksi juga banyak membantu saya untuk babak komedi.

"Lagipun ia merupakan filem kedua selepas Cinta Muka Buku, arahan Piere Andre dalam naskhah yang agak serius," ujarnya pemilik nama penuh, Nurakmalina Iskandar itu,
Bercerita mengenai wataknya sebagai Hawa, Nina berkata dia agak kekok untuk berlakon sebagai gadis kampung.

"Ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dan sangat mencabar sepanjang kerjaya lakonan saya.

"Paling tak boleh lupa bila saya perlu menunggang basikal dengan memakai baju kurung.

Bayangkan hampir 15 tahun saya tak naik basikal dan terpaksa belajar semula demi watak ini," katanya yang bakal muncul dengan beberapa buah filem seperti Sniper (April) dan Pengantin Malam (Jun).

Buang dialek Brunei

Biarpun baru sahaja memulakan kerjaya seninya, wanita kelahiran Brunei ini mengakui bahawa dia sangat menyukai masakan di negara ini terutamanya makanan tradisional.

"Masakan di sini terlalu banyak dan pelbagai jenis sehingga saya mengambil masa untuk merasainya semua.

"Jujur saya katakan bahawa saya sudah jatuh cinta dengan makanan Malaysia seperti roti canai, nasi lemak, kuih tradisi dan macam-macam lagi," katanya.

Akui masih menyesuaikan diri, Nina berkata, dia juga sedang berusaha mendalami bahasa Malaysia ‘standard’ dengan berkomunikasi bersama rakan-rakan di sini.

"Sebelum memulakan sesuatu babak, saya terpaksa berlatih bahasa dengan pelakon lain sebelum rakaman dilakukan.

"Ia bagi memastikan lontaran dialog saya tidak kedengaran pelik dek dialek Brunei yang masih tebal," katanya.

JOM saksikan trailer filem LU, GUA,BRO!



ARTISMALAYSIA: Lama dah tak makan KFC Kentucky Fried Chicken
Previous Post Next Post