Gwyneth Paltrow & Chris Martin Berpisah Selepas 10 Tahun Bersama


Gwyneth dan Chris mendirikan rumah tangga pada 2003 dan mengambil keputusan untuk berpisah selepas 10 tahun hidup bersama.

PEMENANG Anugerah Akademi Gwyneth Paltrow dan suaminya, Chris Martin mengambil keputusan untuk berpisah selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut laporan Daily Mail, pengumuman itu dibuat pasangan itu menerusi satu kenyataan bersama pada Selasa dan memberitahu keputusan yang diambil adalah sukar buat mereka berdua.

Dalam kenyataan tersebut, Gwyneth, 41 dan Chris, 37, yang juga vokalis kumpulan Coldplay itu turut mengakui mengambil masa selama setahun untuk memperbaiki keadaan rumah tangga mereka namun gagal.




"Kami berusaha untuk menjayakan perkahwinan ini selama setahun sama ada secara bersama atau pun berasingan. Bagaimanapun kami mengambil keputusan untuk berpisah sementara cinta di antara kami masih utuh.

"Kami akan sentiasa mejadi sebuah keluarga dan hubungan kami bertambah rapat berbanding sebelum ini," kata kenyataan tersebut.

Tambah mereka lagi, keutamaan akan diberikan kepada kedua-dua anak mereka iaitu Apple, 9 dan Moses, 7 dan berharap akan diberi ruang untuk mengharungi saat sukar tersebut tanpa diganggu oleh sesiapa.

"Sebelum ini juga kami memilih untuk tidak mendedahkan kehidupan peribadi dan selepas ini juga keadaan akan kekal sama bagi membesarkan anak-anak kami," kata Gwyneth.

Pasangan itu dilaporkan bercuti ke Eleuthera di Bahamas bersama anak-anak mereka sebelum membuat pengumuman itu di laman web milik Gwyneth.

Gwyneth dan Chris berkahwin secara rahsia di Mexico pada Disember 2003.
Previous Post Next Post