Hajat tunai umrah tak sampai


Ali Mamak

“ALLAHYARHAM ada menyampaikan hasrat untuk menunaikan umrah bersama saya bulan ini. Namun kerana kurang sihat, hasrat itu terpaksa dilupakan seketika.

Namun ALLAH SWT lebih menyayanginya,” ujar Datin Rohani Wahab, 53, mengenai hasrat terakhir suaminya, Datuk Ali Mamak, 63, sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Ujar Rohani, Ali atau nama sebenarnya Jantan Osman menghidap komplikasi penyakit seperti gout, jantung, buah pinggang, dan leukimia sejak beberapa tahun lalu.

Namun penyakit keadaan kesihatannya bertambah teruk semenjak awal bulan ini dan memaksanya di tahan di wad empat hari lalu, sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.




“Sebelum dimasukkan ke wad (Selasa) keadaannya masih baik. Keadaan Allahyarham bertambah kritikal sejak dua hari yang lalu. Masa tu dia sudah tidak sedarkan diri dan dipindahkan ke wad CCU (Unit Rawatan Kritikal) dan doktor sudah memaklumkan kepada anak saya bahawa peluang Allahyarham untuk sembuh sangat tipis.

“Saya amat terkilan apabila hasrat Allahyarham untuk menunaikan umrah tidak tercapai dan permintaan terakhirnya untuk menikmati rendang ayam juga tidak dapat saya tunaikan kerana keadaannya sedang berpantang di hospital,” katanya.

Ali meninggal dunia pada pukul 4.20 pagi (Khamis) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur, akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Allahyarham meninggalkan isteri, tiga orang anak iaitu iaitu Sharol Nizam, 34, Noor Azwan, 32 dan Normala, 27 serta enam cucu.

Rohani berkata, sepanjang 36 tahun hidup bersama, Allahyarham seorang suami yang bertanggungjawab dan tidak pernah merungut biarpun kehidupan mereka susah.

“Jika kurang tawaran, maka kurang juga pendapatan dan Allahyarham tidak pernah merungut biarpun hanya makan nasi berlaukkan kicap dan cili padi.

“Apa yang penting dia akan sentiasa memastikan anak-anaknya hidup dalam keadaan selesa dan dia akan menunaikan apa sahaja permintaan anaknya,” katanya.

Kehilangan dirasai

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Sharol berkata, pemergian bapanya sememangnya amat dirasai biarpun arwah seorang yang tegas di rumah, namun sebelum kritikal, Allahyarham sempat bergurau senda.

“Empat hari sebelum dia pergi, dia beritahu saya, dia sudah cukup berpuas hati dengan kami adik-beradik dan kehidupannya serta sudah boleh pergi dengan tenang, sambil ketawa. Masa itu saya rasa tak sedap hati. Tapi terpaksa sembunyikan perasaan depan semua ahli keluarga yang lain.

“Sesekali tu adalah dia buat lawak untuk anak. Tapi, saya tak rasa macam dia pergi sebab apa yang dia tinggalkan tu boleh dimanfaatkan dan masih terngiang-ngiang di telinga saya. Benda yang buat saya teringatkan dia apabila dia selalu berpesan
kepada adik beradik yang berkait rapat dengan perjalanan kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Zass sempat bertanya kepada rakan seangkatan Allahyarham yang berkunjung ke upacara pengkebumiannya di Dusun Tua, Batu 14, Hulu Langat.

Pelakon Veteran, Lan Zailan, 55, ketika ditemui di majlis berkata, pemergian Ali satu kehilangan amat besar dalam industri.

“Memang sebelum ni saya tahu dia sakit, tapi saya terkejut bila dapat tahu daripada Abon (teman baik Allahyarham) tentang pemergiannya. Kerana walalupun dia sakit namun dia cukup kuat.

“Bagi saya, dia bukan sebagai rakan artis, tapi adalah guru saya. Masa dekat Kampung Medan dulu kalau ada sebarang persembahan untuk jadi juruacara atau lain-lain, saya akan rujuk dengan dia berkaitan lawak yang perlu saya buat.

“Allahyarham seorang yang senang berkongsi apa sahaja. Saya belajar asas berlawak daripada dia. Lepas ni dah takde guru untuk bertanya,” katanya.

Selain itu, pelawak, Rahim Mat Ali, 43 juga turut berkongsi pengalamannya bersama Allahyarham. Menurut Rahim, dia sebagai pelawak baharu, dia benar-benar merasa pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar dalam industri. Baginya
Allahyarham seorang pelawak ‘legend’ yang cukup besar bakatnya dan tidak berganti.

“Pemergian Allahyarham benar-benar mengejutkan saya kerana Allahyarham sempat mengadakan persembahan di Melaka baru-baru ini. Ketika dapat tahu, jam 11 pagi tadi (semalam), saya dari lokasi di Negeri Sembilan dan terus bergegas ke sini, tetapi sayangnya Allahyarham telahpun dikebumikan setengah jam selepas itu,” katanya yang menyifatkan Allahyarham seorang yang tidak lokek ilmu.

Penghibur versatil

Nama Datuk Ali Mamak dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Pelawak dan penyanyi ini mula dikenali menerusi sitkom ‘Santan Berlada’ yang cukup popular pada era 80-an.

Allahyarham yang juga anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun dan telah dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Tidak pernah jemu untuk berkarya, Allahyarham turut serta mewarnai program Maharaja Lawak Mega 2013 menerusi malam ‘Kerusi Panas’ bersama pelawak Aziz Kota dan Fida Ibrahim dalam kumpulan Santan.

Selain melawak, Ali juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu komedi yang tidak asing lagi dengan pelbagai rentak dan lagunya pula sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial atas isu-isu semasa.

Begitulah takdir hidup seorang bintang apabila di mata kasar masyarakat hidupnya indah belaka dan kemilau seperti yang ditonton di kaca televisyen. Hakikatnya Ali tidak pernah terlepas berdepan ujian getir dan kesukaran dalam hidup.

Biarpun takdir hidup tidak sebaik portfolionya, kualiti lakonannya yang berpengalaman selama 36 tahun itu tidak mampu dipersoalkan oleh sesiapa pun.

Allahyarham juga tidak pernah gagal memberi kepuasan kepada penonton. Cinta mendalam pelawak dan penyanyi itu terhadap seni tetap berterusan walaupun sedang menanggung kesakitan.
Previous Post Next Post