Hanez Suraya Pandanglah Bakat Saya


Hanez Suraya Abd Aziz

Sebaik mengadakan sidang media membalas kenyataan dibuat isteri kekasih hatinya, Romie Razin, kontroversi hubungan cinta pelakon Hanez Suraya Abd Aziz, 29, dilihat berpanjangan dan tiada kesudahan.

Pelbagai tuduhan dan hinaan dilempar, termasuk bintang utama drama Suri itu perampas serta cuba meruntuhkan rumah tangga Romie.

Namun dalam sidang media dibuat bulan lalu, Romie mahupun peguamnya menjelaskan, punca permohonan cerai dibuat isterinya tiada kena mengena dengan orang ketiga.

Penjelasan itu bagaimanapun tidak meredakan kebencian dan kemarahan mereka yang bersimpati dengan isteri Romie, Liyana Manan.

Berikutan peristiwa itu, Hanez nekad menarik diri dengan membatalkan beberapa aktiviti seni yang dipersetujui sebelum ini, termasuk pembabitannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013).




Keputusan itu dibuat bagi mengelak kejadian buruk berlaku, terutama apabila banyak ugutan diterima daripada mereka yang tidak diketahui identitinya.

Sebelum ini, Hanez ketika ditemui menegaskan, dia akan tetap membintangi teater Projek Kahwin yang dijadual dipentaskan di Istana Budaya pada pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, timbul lagi kontroversi kontrak­nya sebagai duta jenama satu produk makanan kesihatan turut dibatalkan, namun tiada pengesahan daripada pihak Hanez mahupun pengeluar produk berkenaan.

Penerbit drama pentas Projek Kahwin juga dikatakan mahu menggugurkan nama Hanez sebagai pelakon utama, namun pihak terbabit menjelaskan, perkara itu belum dibincangkan, malah Istana Budaya berharap barisan pelakon asal dikekalkan.

Sewaktu dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, Hanez berkata, dia kini menanti kata putus daripada penganjur.

“Isu timbul apabila saya menarik diri dari beberapa projek, termasuk menjadi penyampai untuk ABPBH2013. Bagaimanapun, saya tidak pernah menarik diri daripada pementasan Projek Kahwin.

“Namun, jika ia bakal memberi kesan dan mempengaruhi jualan tiket, saya sedia melakukan perkara sama.

“Begitupun, penerbit dan pihak Istana Budaya minta saya meneruskan pembabitan, tetapi saya tidak berani mengesahkannya.

“Saya faham jika digugurkan, penerbit mempunyai alasan kukuh. Projek Kahwin membabitkan pementasan besar dan belanja tinggi.

“Tentu mereka mengharapkan ia memberi pulangan. Saya tidak mahu pembabitan saya menyebabkan orang lain mendapat masalah,” katanya.

Jauh di sudut hati, dia berharap dibenarkan menjayakan Projek Kahwin kerana ini satu-satunya peluang untuknya menimba ilmu dan mengasah bakat.

“Saya sangat berharap dapat membintangi Projek Kahwin kerana ia medan terbaik melihat kemampuan diri. Waktu sama, saya harap orang ramai tidak memikirkan hubungan cinta saya dengan Romie, sebaliknya pandang bakat saya.

“Sebagai pelakon, sudah lama saya menanti peluang beraksi di pentas teater. Saya dapat belajar selok-belok lakonan apabila diberi tempoh sebulan setengah untuk menghayati watak,” kata­nya.

Hanez turut berharap mereka yang terus-terusan membencinya melihat pembabitannya dalam teater Projek Kahwin secara rasional serta jangan mencampur adukkan hal peribadi dan kerja.

Kata Hanez, dia turut menolak beberapa tawar­an drama, terutama yang akan ditayangkan dalam waktu terdekat.

“Saya sedia maklum, sekarang bukan waktu terbaik untuk muncul dalam mana-mana drama dan apa juga aktiviti. Selagi isu ini tidak reda, selagi itu saya akan mendiamkan diri.

“Biar saya hadapi masalah ini sendiri dan seboleh mung­kin saya tidak mahu disebabkan saya, orang lain terpalit sama. Bayangkan jika drama lakonan saya diboikot, ia pasti memberi kesan kepada pelakon lain.

“Saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku dan jalan terbaik, biar saya berehat seketika,” katanya.

ARTISMELETOP: Bakat apa yang ko ada Hanez? Bakat merampas laki orang ke?
Previous Post Next Post