Hisyam Hamid Mungkin Pindah Ke Shah Alam



Pelakon Singapura, Hisyam Hamid, 29, kini semakin mendapat perhatian peminat drama Melayu. Selain suka dengan lakonannya, peminat juga terpesona dengan penampilan Hisyam yang kacak bergaya. Bagaimanapun, jejaka ini bukan berstatus solo, sebaliknya sudah berkahwin dan memiliki dua orang cahayamata.

Ketika ditemui baru-baru ini Hisyam menjelaskan dia kini sedang merancang untuk membawa anak-anaknya bersekolah di Malaysia, tetapi bukan dalam waktu terdekat ini.

“Buat masa ini saya berulang-alik ke Kuala Lumpur jika terlibat dengan penggambaran. Saya akan tinggal di rumah ayah saya yang menetap di Shah Alam selepas dia berkahwin dengan orang sini. Kalau ikut perancangan, saya dan isteri memang sudah berkira-kira untuk membawa anak-anak bersekolah di sini, tetapi bukan dalam waktu terdekat ini. Mungkin pada awal tahun hadapan,” ujar Hisyam.




Jelas Hisyam lagi, dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana tidak bimbang anak-anaknya tidak boleh menyesuaikan diri.

Sementara itu, isteri Hisyam, Rosmawati, 29 turut memberitahu mereka sedang mempertimbangkan untuk berpindah ke Damansara atau Shah Alam.

“Kalau ikut kata kawan-kawan ramai yang cadangkan kami berpindah ke Shah Alam sebab mereka berpendapat persekitaran di sana lebih sesuai untuk membesarkan anak-anak. Jadi, tengoklah macam mana nanti. Kalau boleh kami memang mahu beri keutamaan kepada anak-anak,” ulas Rosmawati yang sentiasa menemani Hisyam ke mana-mana.

Dalam perkembangan lain, Hisyam kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri di Singapura berjudul ‘Di Luar Garisan Cinta’ musim kedua. Selepas itu dia akan terlibat dengan penggambaran filem ‘Sinaran’ bersama Neelofa dan Lisa Surihani arahan Osman Ali.
Previous Post Next Post