Julia Perez Masih Trauma



Aktres simbol seks Indonesia, Julia Perez mengakui masih trauma untuk ke Malaysia ekoran kontroversi yang menghimpit dirinya pada dua tahun lalu di mana menyaksikan perang Twitter antaranya dengan bekas Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Kontroversi mula tercetus apabila aktres yang mesra dengan panggilan Jupe ini bertindak mengutuk kualiti drama tempatan sekaligus mencetuskan kemarahan masyarakat Malaysia termasuklah Zed Zaidi.

Ekoran dari insiden tersebut, Zed Zaidi menerusi Persatuan Seniman bertindak menyerbu lokasi filem lakonan Jupe, ‘Fobia Malam Pertama’ apabila menerima dakwaan kononnya pelakon seksi ini berlakon di Malaysia tanpa mempunyai permit yang sah.




“Saya masih belum bersedia untuk datang ke Malaysia kerana masih trauma dengan kejadian yang berlaku. Saya fobia kerana dimaki sebegitu dan ia merupakan pengalaman pahit yang saya tidak dapat lupakan sehingga sekarang,” tutur Julia Perez ketika dihubungi pihak media sejurus selesai majlis tayangan filem ‘Fobia Malam Pertama’ di TGV One Utama pada Selasa.

Menerusi perbualan telefon yang dilakukan, Jupe turut memohon maaf kepada semua kerana tidak dapat berada di Malaysia bagi menghadiri sesi promosi filem tersebut kerana mengakui masih fobia dengan insiden lepas.

“Saya minta maaf kerana tak dapat nak datang bagi mempromosikan filem ini. Apapun, terima kasih kepada semua kerana menyukai lakonan saya. Saya seronok sepanjang berada di Malaysia ketika menjalani penggambaran filem ini. Walau apapun yang berlaku, saya tetap sukakan Malaysia dan juga orang-orangnya,” ujar Jupe mengakhiri perbualan.

Sementara itu, pengarah filem tersebut, Murali Abdullah memberitahu bahawa pihak produksi menerima keputusan pelakon tersebut untuk tidak terlibat dalam promosi filem ‘Fobia Malam Pertama’ kerana memahami keadaan pelakon tersebut yang masih trauma.

“Jupe sepatutnya berada di Malaysia selama enam hari untuk penggambaran filem ini, namun disebabkan kejadian tersebut, dia hanya berada selama tiga hari sahaja di sini. Sewaktu Jupe mahu pulang, dia menangis kerana sedih dengan segala yang berlaku.

Ini kerana dia mahu memberi ‘input’ bagi membangunkan lagi kualiti filem Malaysia namun sebaliknya, perkara negatif pula yang berlaku. Buat masa sekarang, Jupe memberitahu dia belum mahu terima apa-apa lagi tawaran berlakon di Malaysia dan pihak kami faham dengan keadaan dia,” kata Murali.

Selain Jupe, 'Fobia Malam Pertama' turut dibintangi oleh Azad Jasmin, Shafnida Syuhaimi, Razali Hussain serta ramai lagi. Filem terbitan Nusantara Seri Karya (NSK) Sdn Bhd ini bakal ditayangkan di pawagam tempatan mulai 13 Mac ini.
Previous Post Next Post