Konsert cara Aizat beramal



SEBAGAI seorang anak seni, Aizat juga mahu menyumbangkan sesuatu untuk masyarakat dan salah satu caranya adalah dengan mengadakan konsert amal.

PELBAGAI pendekatan yang dilakukan oleh banyak pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan kesedaran masyarakat terutamanya dalam kalangan golongan belia mengenai bahaya penyakit kanser.

Namun, lain pula pendekatan yang dibawakan oleh penyanyi muda Aizat Amdan, 25, apabila memilih konsert sebagai salah satu medium untuk meyedarkan golongan muda mengenai penyakit yang dikenali sebagai pembunuh senyap itu.




Konsert selama dua jam setengah yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, turut menampilkan artis di bawah naungan syarikat rakaman Aizat, Kasi Gegar Entertaiment termasuk Amir Jahari, Go Gerila dan Venopian Solitude.

“Muzik merupakan salah satu medium yang paling dekat dengan golongan muda. Selain berhibur, kita dapat menyuntik elemen kesedaran mengenai bahaya penyakit ini.

“Kesedaran penting dalam memastikan golongan belia peka terhadap penyakit ini dengan mengambil langkah pencegahan awal seperti melakukan pemeriksaan awal setiap dua kali setahun,” ujarnya.

Menurut Aizat, konsert tersebut merupakan pembuka tirai kepada kempen pencegahan kanser dengan kerjasama beberapa buah badan bukan kerajaan termasuk Yayasan Kanser Negara dengan pihak pengurusan UKM.

“Saya terpanggil untuk melakukan konsert ini kerana merasakan ia merupakan tanggungjawab saya sebagai seorang penyanyi. Ini adalah satu sumbangan saya kepada masyarakat.

“Konsert ini juga patut diteruskan. Saya dan pihak penganjur juga bercadang untuk meneruskan jelajah konsert ini ke beberapa institut pengajian tinggi di seluruh negara.

“Selain daripada memberi pendidikan kepada diri saya mengenai langkah pencegahan kanser, ia juga sekali gus mampu meningkatkan kesedaran masyarakat dan konsert ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial saya sebagai seorang artis,” ujarnya usai konsert tersebut diadakan.

Aizat menambah, hasil penjualan tiket juga akan disalurkan ke beberapa yayasan dan organisasi kanser di ibu kota.

“Pihak pengurusan sudah mengenal pasti badan kebajikan yang memerlukan untuk menyalurkan dana, dan Alhamdulillah walaupun masih di peringkat permulaan, kutipan daripada penjualan tiket amat memberangsangkan,” ujarnya.


AMIR JAHARI juga teruja kerana dapat terlibat dalam konsert bagi meringankan beban pesakit kanser.

Pada konsert tersebut Aizat mempamerkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi dengan ‘bergembira’ bersama semua yang terlibat di dalam konsert serta penonton yang hadir.

Muzik segar bawaannya selain sikap ramah di pentas membuatkan konsert tersebut berlangsung santai dan mengasyikkan.

Mendendangkan lebih sembilan buah lagu, tentulah hit seperti Sungai Lui dan Hanya Kau Yang Mampu tidak terkecuali dalam senarai dan telah mengundang gemuruh dan sorakan dalam kalangan peminat yang hadir.

Selain beraksi solo, Aizat tampil penuh energi bersama kumpulannya, Go Gerilla.

Ketika ditanya konsep yang dibawa pada malam tersebut Aizat berkata, penggunaan teknologi baharu seperti mixer digunakan untuk membawa elemen moden kepada alunan muzik yang disampaikan.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Penghibur Jalanan, Amir Jahari berkata, konsep berhibur sambil beramal sememangnya merupakan usaha yang baik dalam memastikan

“Kita ingin menyeru ramai lagi pihak supaya menyokong amal kebajikan ini dan saya rasa ia juga bagus untuk perjalanan karier seni saya kerana di samping beramal saya juga mampu mempromosikan lagu-lagu saya.

“Insya-Allah jika diberikan kesempatan lagi saya akan turut menyertai konsert yang akan datang,” ujar Amir yang baru selesai daripada penggambaran Drama OMG terbitan Media Prima sebanyak 13 Episod.
Previous Post Next Post