Konsert Forteen Tangguh Ke 26 April 2014



Konsert kumpulan Forteen, Kita 20Forteen yang sepatutnya diadakan di Life Centre pada 29 Mac ini telah ditangguhkan ke 26 April depan bagi menghormati tragedi yang menimpa pesawat MH370.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak KRU Music Sdn Bhd, pihaknya dan ahli anggota Forteen melahirkan rasa simpati kepada semua yang terlibat terutama keluarga mangsa pesawat malang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Norman Abdul Halim berkata, atas dasar simpati dengan kejadian berkenaan, adalah tidak wajar untuk pihaknya meneruskan konsert berkenaan.

“Kami amat bersimpati dan bersedih dengan kejadian yang menimpa penumpang dan anak-anak kapal MH 370, kami merasakan adalah tidak wajar untuk meneruskan konsert Kita 20Forteen yang dijadualkan pada 29hb Mac ini, disaat kita masih lagi dalam keadaan berduka dan harapan kami masih berterusan bersama yang lain agar usaha pencarian yang sedang giat dilakukan akan berjaya,” kata Norman Abdul Halim.




Tambah Norman lagi, dia sedar penundaan itu akan melibatkan ramai pihak dan juga bakal menimbulkan pelbagai kesulitan terutama kepada pembeli tiket konsert berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya amat berharap agar mereka yang terlibat dapat memahami dan menghormati keputusan berkenaan.

Pihak KRU Music menyatakan, Forteen yang sedang giat berlatih untuk menjayakan konsert pertama mereka turut redha dengan keputusan yang diambil malah melahirkan rasa simpati kepada penumpang, anak-anak kapal MH 370 dan keluarga mangsa yang terlibat untuk sentiasa tabah dan berdoa.

Sementara itu salah seorang anggota Forteen, Ariz berkata sebagai salah seorang individu yang mengikuti perkembangan MH370 dari misteri kehilangannya sehingga diputuskan berakhir di Lautan Hindi, dia berasa tidak sedap hati untuk meneruskan persembahan berkenaan.

“Disaat kita masih bersedih dan kami bersetuju dengan penundaan ini. Sementara itu kami juga ingin meminta maaf kepada semua peminat sekiranya penundaan ini telah menimbulkan sebarang permasalahan disebabkan ada diantara mereka yang telah melakukan perancangan awal bagi menghadiri konsert kami terutama kepada peminat kami di luar dari Kuala Lumpur”, jelas Ariz mewakili rakan Forteen yang lain.

Pihak yang telah membeli tiket Konsert Kita 20Forteen bertarikh 29 Mac ini, mereka masih boleh menggunakan tiket tersebut pada 26hb April depan.

KRU Music juga mencadangkan, bagi mereka yang ingin memulangkan tiket yang telah dibeli sebarang pertanyaan boleh diajukan ke enquiries@unitedstudios.net.
Previous Post Next Post