Ly, Baiduri rai peminat



Aktiviti riadah bersama peminat sering dilakukan penyanyi atau pelakon tempatan, tapi jarang pula kedengaran dilakukan komposer.

Rata-rata beranggapan ­hanya selebriti popular ada peminat manakala komposer pula insan yang berdiri di belakang tabir dan tak perlu dikenali.
Namun berbeza pula Ly Baiduri apabila pasangan komposer dan penulis terkenal ini mempunyai ramai pengikut. Ly atau nama sebenarnya Rozman Shafie dan isterinya Norkhayati Mohd Hashim yang menggunakan nama pena Baiduri sedar sejak kembali aktif menghasilkan lagu, mereka mendapat sokongan padu banyak pihak.

“Sejak lagu ciptaan kami menang di anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik, makin ramai mengikuti perkembangan kami di Facebook.

“Ada antara mereka bertanya bila mahu mengadakan aktiviti riadah dan berkumpul bersama peminat? Saya tak sangka ada permintaan seperti itu,” katanya Ly terharu.





Pada acara ‘Gathering Ly Baiduri Bersama Frenzers’ seramai 110 peminat dari seluruh Malaysia dan Indonesia berkumpul di Wet World Shah Alam, Sabtu minggu lalu.

Selain peminat, acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis tanah air, antaranya Hafiz AF, Riz AF, Rahmat Mega dan Ally AXL.

Ly berkata, pada mulanya mereka mensasarkan sekitar 30 orang saja dan diadakan dalam suasana santai seperti aktiviti makan malam.

“Tak sangka ramai berminat menyertai aktiviti ini. Kebetulan pula musim cuti sekolah dan mereka (peminat) cadangkan supaya melakukan aktiviti lebih terbuka dan pelbagai.

“Atas persetujuan ramai, kami pilih Wet World Shah Alam. Kalau ikutkan, ramai lagi mahu turut serta tapi terpaksa tarik diri pada saat akhir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Ada yang datang jauh dari Sabah, malah tak kurang juga dari Indonesia semata-mata untuk bersama kami,” kata Ly yang berharap acara sebegini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang.

Pasangan itu mengambil masa dua minggu untuk mencari lokasi sesuai, tajaan dan pengisian acara.

Antara acara diadakan ialah permainan ‘basah’ dan ‘kering’, pertandingan teka tajuk lagu, jangan lupa lirik, pertandingan karaoke dan persembahan artis.

Ly dan Baiduri berkata, beberapa hari sebelum acara berlangsung, mereka hampir membatalkannya berikutan masalah jerebu dan negara dikejut­kan dengan misteri kehilangan pesawat MH370.

“Keluarga sahabat kami juga berada dalam pesawat itu dan kami turut merasai kesedihan yang mereka lalui. Semua orang bersedih dengan tragedi ini.

“Bagi menzahirkan rasa itu, terciptalah sebuah lagu khas yang belum diberi judul,” kata Ly.

Lagu itu dinyanyikan oleh Riz AF dan buat kali pertama didendangkan kepada umum ketika acara berlangsung.


Ly Baiduri lantik syarikat pengurusan

Selepas lapan tahun me­nyepi, Ly Baiduri yang bergerak di bawah syarikat Kelarai Sakti Sdn Bhd melantik sebuah syarikat pengurusan dan perhubungan awam (PRO) tempatan, Whosyn’Signature bagi mengurus kerjaya mereka.

“Syukur, nama Ly Baiduri dikenali di Malaysia dan Indonesia. Lagu kami diterima baik dan kini bersedia melebarkan sayap ke sektor korporat, kerajaan, stesen televisyen dan syarikat produksi.

“Selain itu, kami akan terus mencipta lagu untuk penyanyi tempatan dan negara jiran,” katanya.

Perjanjian kerjasama antara Ly Baiduri dan Whosyn’Signature terpateri pada 25 Februari lalu.

Mengimbas kembara seni pasangan ini, nama Ly Baiduri mula dikenali di Indonesia apabila lagu ciptaan mereka, Satukan Hati Kami dinyanyikan Poppy Mercury. Sejarah sekali lagi dilakar apabila lagu Mengapa nyanyian Nicky Astria menjadi siulan anak muda di negara itu sedekad lalu.

Di sini, lagu seperti Aku Cinta Padamu (Datuk Siti Nurhaliza), Syurga di Hati Kita (Ziana Zain), Bayangan Gurauan (Mega), Pohon Cemara (Exist), Bourgenvilla (Spring) dan terbaru pastinya Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz mengangkat nama LY Baiduri sebagai komposer serta penulis lirik disegani ramai.
Previous Post Next Post