Mark Adam Guru Vokal Mizz Nina



Penyanyi kelahiran Filipina, Mark Adam, 35, semakin mendapat tempat di hati peminat hiburan tempatan. Menyerlah menerusi single berjudul ‘Pencuri’, mungkin ramai yang beranggapan Mark merupakan seorang penyanyi Malaysia, sedangkan dia lahir dan dibesarkan di Filipina.

Namun begitu, Mark telah lama mengatur rencana kerjayanya di Malaysia. Mula menjejakkan kaki ke Malaysia semenjak tahun 2001 lagi, kini sudah hampir 13 tahun Mark menetap di Malaysia. ARTISMELETOP mengatur pertemuan bersama pemilik nama Fikri Adam Mark Abdullah ini untuk mengenali jejaka berbakat besar itu dengan lebih rapat lagi.

“Nama asal saya adalah Mark Echivarre. Saya dilahirkan di Cebu City, Filipina pada 15 Oktober 1979. Saya bermula dalam bidang nyanyian semenjak di usia kanak-kanak lagi. Muzik boleh dikatakan sebahagian daripada hidup saya.

Datuk saya boleh bermain trombon dan saksofon. Saya pula boleh bermain bass, piano, dram dan juga gitar. Kebanyakan alat muzik ini saya pelajari sendiri. Selepas saya memenangi sebuah pertandingan nyanyian di Filipina, pengembaraan saya dalam bidang muzik bermula,” kata Mark yang merupakan seorang guru vokal.




Walaupun makin mendapat tempat dalam bidang seni suara, Mark masih lagi bertugas sebagai guru vokal di The Singing Shop, Petaling Jaya. Pernah belajar di Salonga School of Music, Cebu City, Filipina, Mark juga pernah menuntut di Australian Guild of Music. Ketika ditanya adakah populariti yang diraihnya menerusi lagu ‘Pencuri’ membuatkan makin ramai pelajar mahu belajar vokal bersamanya, Mark tidak menafikan perkara itu.

“Saya kini cuba untuk mengimbangi masa antara menjadi guru dan kerjaya nyanyian. Saya akui, keadaannya adalah sedikit sukar, tapi saya memang cintakan kerjaya saya sebagai seorang guru vokal sama dengan minat saya untuk menjadi penyanyi. Menjadi guru vokal adalah satu perkongsian yang sangat baik. Saya terinspirasi melalui kehidupan orang lain dan saya berkongsi inspirasi bersama dengan pelajar-pelajar saya,” ujar penggemar muzik Dato’ M. Nasir, Michael Jackson dan David Foster ini.

Jelas Mark, dia tidak garang ketika mengendalikan kelas vokal. Ini kerana dia lebih suka sesuatu yang kasual dan tidak terlalu formal ketika bersama pelajarnya agar suasana pembelajaran lebih menyeronokkan.



Dalam masa yang sama, Mark cuba menyuntik elemen yang ingin disampaikan secara santai agar pelajarnya mudah memahami apa yang diajar. Terdapat pelbagai kelompok umur pelajar yang belajar dalam kelasnya, bermula dari umur lima tahun sehingga umur 75 tahun. Mark juga sempat berkongsi pengalamannya dalam mengajar beberapa orang pelajar yang merupakan penyanyi professional seperti Mizz Nina, Iqwal, Salma dan Asmidar.

“Seperti Mizz Nina, saya boleh sifatkan yang dia adalah seorang pelajar yang sangat fokus dan bersungguh-sungguh sewaktu saya mengajarnya. Tak sukar untuk saya mencurahkan ilmu kepada Nina kerana dia sangat bekerja keras. Kalau melihat kepada Salma, Iqwal dan Asmidar pula, mereka sememangnya boleh menyanyi. Apa yang saya cuba terapkan kepada mereka adalah cara untuk menyampaikan sesebuah lagu agar kena dengan momen, waktu dan cara untuk mengekspresikan lagu tersebut. Mereka merupakan pelajar dan penyanyi yang sangat bagus,” tutur Mark penuh bangga.

Suami Orang

Ramai yang tidak tahu, sebenarnya Mark bukan seorang berstatus bujang. Dia sudah lama menggalas tanggungjawab sebagai suami. Selepas dua tahun ke Malaysia, Mark berkahwin dengan isterinya. Mengimbas kembali detik perkenalan mereka, Mark mengenali isterinya ketika dia menyanyi bersama sebuah kumpulan muzik.

Kini, nama Mark yang semakin dikenali membuatkan ramai peminat yang ingin mendekatinya, terutamanya peminat wanita. Namun begitu, tegas Mark, dia sendiri meletakkan batas antara tugasnya sebagai suami dan juga penyanyi. Menyentuh soal anak, Mark masih lagi belum dikurniakan cahaya mata. Mereka punya perancangan untuk menimang anak tetapi masih belum ada rezeki buat setakat ini.



Mark juga sempat menceritakan pengalamannya dalam mencuba nasib dalam beberapa program realiti nyanyian di Malaysia. Pernah mencuba untuk ke uji bakat program seperti Akademi Fantasia, usaha Mark terkandas di tengah jalan. Kata Mark, status kewarganegaraan yang dihadapinya menjadi penghalang untuk dia melebarkan cita-citanya.

Bagaimanapun, dua tahun lalu dia akhirnya mendapat status penduduk tetap dan memiliki kad pengenalan yang sah setelah sekian lama memohon. Ujar Mark, banyak prosedur yang terpaksa diikuti olehnya, namun semuanya dituruti satu demi satu. Dua tahun lalu juga menjadi permulaan yang baik untuk Mark apabila single pertamanya, ‘Sampai Nanti’ mula diperkenalkan. Selepas itu, muncul pula single ‘Pencuri’ yang mempopularkan dirinya dan nama mark semakin bersinar apabila single ketiganya kian menjadi perhatian ramai, iaitu ‘Si Katak’.

ARTISMELETOP: Jom Kita layan lagu Si Katak dari Mark Adam

Previous Post Next Post