Mizz Nina Bakal Tawan Minggu Fesyen Kuala Lumpur



Bagi penggiat fesyen tanah air kemunculan Minggu Fesyen Kuala Lumpur atau KL Fashion Week pastinya amat dinanti-nantikan kerana disinilah karya serta kerja seni kreatif pereka fesyen tempatan akan dipersembahkan.

Aura yang sama juga dirasai oleh penyanyi popular Mizz Nina kerana koleksi daripada label fesyennya MizzNina dan Madeena buat pertama kalinya akan dipertontonkan kepada khalayak sempena minggu fesyen penuh glamor itu.

Sumber Mizz Nina memberi tahu, penyanyi berkenaan telahpun dipilih oleh pihak penganjur Minggu Fesyen Kuala Lumpur untuk menayangkan koleksi fesyen ‘funky hijab’ yang disempurnakan dengan penuh bergaya.

Kata sumber itu lagi, sejak berhijrah dan tidak lagi aktif menyanyi, Mizz Nina telah memberikan seluruh jiwa dan raganya untuk jenama berkenaan terutama ketika hari pelancarannya itu nanti.




“Semuanya masih dalam perancangan dan ini adalah tarikan terbaru yang kita dapat lihat dalam kerjaya Mizz Nina selepas bertudung.

“Semuanya masih menjadi rahsia dan tunggu saja ketika pelancaran koleksi Mizz Nina itu pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur pada Jun ini. Pastinya ada kejutan,” kata sumber yang rapat dengan pihak Mizz Nina.

Bukan sekadar pakaian untuk wanita berhijab, label Mizz Nina jugak bakal melancarkan koleksi kasutnya sendiri yang mengetengahkan rekaan edgy dan dinamik khusus untuk golongan wanita moden lagi berani.

Kata sumber berkenaan, untuk koleksi pakaian Mizz Nina, isteri kepada Noh daripada kumpulan Hujan itu bakal tampil dengan gaya terbarunya yang bakal memberikan impak kepada peminat fesyen hijab di negara ini.

Mizz Nina juga akan diberikan slot khas bagi mempamerkan koleksi fesyen hijab ketika berlangsungnya Islamic Fesyen Festival sepanjang minggu fesyen yang dinanti-nantikan itu.
Previous Post Next Post