Nina Iskandar sedia berhenti berlakon


BAKAL BERTUNANG... Nina dan Ahmad Heikal akan bertunang pada bulan Ogos depan.

BARU setahun dalam industri lakonan. Namanya juga belum sempat mekar. Khalayak Malaysia masih tertanya-tanya siapa gerangannya Nina Iskandar. Namun, pelakon baharu dari Brunei itu sudah nekad mengambil keputusan untuk bertunang dengan kekasihnya, Ahmad Heikal, 30, seorang ahli perniagaan.

Pada masa yang sama, dia juga tidak kisah untuk berhenti berlakon selepas berkahwin kelak.

Pasangan itu mula berkenalan menerusi laman sosial Instagram sejak November tahun lalu.

Sekali gus, pengakuan pelakon berusia 23 tahun itu dapat menepis segala gosip yang bertebaran yang mengaitkan dirinya dengan anak tiri kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid, 24.

"Ternyata gosip yang mengatakan saya bakal bertunang dengan anak Datuk K itu tidak benar. Saya akan bertunang pada bulan Ogos ini dengan kekasih saya yang bernama Ahmad Heikal," ungkapnya jujur ketika ditemui pada majlis pratonton filem Lu, Gua, Bro! terbitan Metrowealth International Group (MIG) di TGV Sunway Piramid, Petaling Jaya.

Sedar hakikat bahawa tindakannya untuk bertunang ketika namanya sedang naik bakal menimbulkan pelbagai spekulasi daripada mulut orang ramai, kata pemilik sebenar nama Nur Akmalina Iskandar itu, dia sudah bersedia dengan tohmahan orang ramai.

Malah, Nina menganggap itu semua sudah takdir dan rezeki yang sudah tertulis buat dirinya.

"Saya sudah bersedia. Memang masa mula-mula saya masuk industri lakonan, saya tidak punyai apa-apa. Tujuan utama saya adalah berlakon dan bekerja untuk mencari rezeki yang halal.

"Bagaimanapun, lumrah kalau Tuhan tentukan rezeki lain buat kita. Saya percaya, rezeki ini mungkin sudah tertulis buat saya. Jadi, saya tidak perlu risau dengan persepsi orang terhadap saya," luahnya yang tiada perancangan untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

Pelakon Muka Surat Cinta itu juga berserah andai takdir dirinya bakal berkahwin muda.

Menyambung bicaranya lagi, tutur Nina: "Bagi saya bertunang bukan benda jahat, malah benda yang baik. Perasaan ini datang bukan kita yang minta. Ia datang secara tiba-tiba, jadi saya serah segala-galanya kepada takdir".

Disoal mengenai pandangan pihak pengurusan MIG mengenai perancangannya untuk bertunang, Nina yang mengikat kontrak selama lima tahun bersama MIG itu mengakui, pihak pengurusannya tiada masalah mengenai perkara itu, malah menyokong niatnya untuk melangsungkan pertunangan pada Ogos ini.

Nina turut ditanya mengenai perasaan kekasihnya apabila timbulnya gosip mengenai dirinya dengan Adib.

Kata Nina, Ahmad seorang lelaki yang sangat memahami dan gosip itu tiada masalah baginya.




Tinggal kerjaya lakonan

Belum ada sebarang tarikh perkahwinan, bagaimanapun Nina memberitahu, dia sudah bersedia menjadi seorang isteri. Pada masa yang sama, dia bersedia untuk meninggalkan kerjaya lakonan pada bila-bila masa.

"Tarikh kahwin belum ada lagi tetapi kami merancang bertunang dalam minggu pertama Ogos, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri," jelasnya.

Berkongsi momen perkenalannya dengan Ahmad, bicara Nina, lelaki berketurunan Pakistan dari Kelantan itu sudah mengikuti lama laman sosial Instagramnya.

Sehingga pada suatu hari, ketika bangun tidur, satu daripada gambar di IG Nina mendapat like daripada lelaki itu.

"Saya pernah tengok wajahnya di Instagram selepas dia mengikuti IG saya. Kebetulan, pada suatu hari, dia like gambar saya. Saya mula melihat profilnya dan saya rasa teruja kerana mendapati Ahmad menyukai negara Brunei.

"Kemudian saya juga like beberapa gambarnya dan selepas itu Ahmad meminta alamat WeChat saya. Dari situ, kami mula berkenalan," cerita Nina mengenai detik awal perkenalannya dengan Ahmad.

Hanya dalam tempoh perkenalan selama tiga bulan, Nina kemudiannya dirisik keluarga Ahmad pada 15 Februari lalu di kediaman milik keluarga Nina di Brunei.

Lu, Gua, Bro!

Usai mengenai hubungannya dengan Ahmad dikongsikan, Nina bercerita mengenai cabaran yang dihadapinya dalam filem terbaharu lakonannya, Lu, Gua, Bro!.

Pertama kali membawa watak seorang gadis kampung yang jauh daripada perwatakan sebenar Nina, wanita yang lahir pada 4 Ogos itu mengakui perlu menukar gaya percakapannya.

"Cabarannya agak banyak. Salah satunya adalah dari segi gaya percakapan. Saya kena menukar percakapan saya kepada bahasa kampung. Lagi satu cabaran apabila saya kena menunggang basikal dalam kawasan sawah.

"Sudah hampir 20 tahun saya tidak menunggang basikal dan ia agak sukar buat saya," ujarnya yang membawa watak seorang gadis kampung bernama Hawa.

Lu, Gua, Bro! mengisahkan perjalanan, suka dan duka dua sahabat baik iaitu Yu dan Mi. Dari zaman kanak-kanak, remaja hingga ke dewasa mereka tetap bersama walau apa pun yang berlaku.

Impian mereka menjadi seorang polis, tambahan pula kedua bapa mereka juga menginginkan mereka menjadi polis.

Filem arahan Ismail Bob Hasim itu akan ditayangkan di seluruh pawagam pada 27 Mac ini.
Previous Post Next Post