Radhi OAG nikah 4 April



MAJLIS persandingan hanya akan berlangsung pada bulan Disember nanti selepas upacara pernikahan dilakukan pada awal bulan depan.

RADHI OAG melalui kehidupan yang penuh warna, hitam dan kelabu. Gagal dalam perkahwinan pertama dan pernah tercalar oleh penyalahgunaan dadah, namun sejak tahun 2012, lelaki yang tidak pernah hilang rona ceria pada wajahnya kembali menjadi kehidupan yang normal.

Dia mahu memulakan sebuah kehidupan yang normal. Soal terlambat atau tidak, sebagai manusia yang waras dan percaya kepada takdir, jalan terang Radhi semakin tiba ke pintu mahligai.

Tanpa mahu menyembunyikan kebahagiaan yang sedang dilalui, Radhi mengakui hubungannya dengan Shahira Ayu Zahiri, 20, bakal diikat dengan perkahwinan. Dia memilih tarikh 4 April depan sebagai hari pernikahan yang akan diadakan di sebuah masjid di Shah Alam, Selangor.

"Memang saya dan Ayu akan berkahwin pada 4 April nanti. Niat hendak berkahwin sudah saya simpan sejak tahun lepas lagi, tetapi faktor kewangan menyebabkan saya kena tunggu waktu yang sesuai," jelas Radhi yang pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada tahun 2010.

Menurut Radhi juga, dia baru dua bulan diberi lampu hijau oleh keluarga Ayu agar mendahulukan syariat berbanding mengadakan majlis persandingan secara besar-besaran.

"Saya faham kemahuan keluarga Ayu, lagipun dia anak perempuan bongsu dan sudah tentu keluarga mahukan yang terbaik untuk Ayu, cuma saya sahaja yang tidak berkemampuan. Kalau boleh mereka mahu adakan majlis persandingan dalam waktu terdekat selepas akad nikah, tetapi atas persetujuan bersama majlis persandingan saya dan Ayu hanya akan berlangsung pada bulan Disember nanti. Jadi kami akan bernikah dulu dalam sebuah majlis yang sederhana," jelas




Radhi yang tidak mengikat tali pertunangan atau menghantar rombongan merisik Ayu sebelum ini.


BUKAN hanya sekadar kekasih, bakal isteri Radhi, Ayu Zahiri juga menjadi pengurus peribadi dalam menguruskan perjalanan karier seninya.

Tambah Radhi: "Saya bersyukur sebab Ayu sangat memahami, dialah tulang belakang saya selama ini. Bukan hanya kekasih malah dia juga seumpama pengurus peribadi yang mengatur perjalanan karier saya. Untuk persiapan perkahwinan nanti, Ayu tidak minta lebih bahkan tidak mahu membebankan saya."

Menurut Radhi juga, segala persiapan menjelang hari bahagianya sedang berjalan lancar termasuklah penetapan tema, baju nikah serta dulang hantaran.

"Kami yang mahu kahwin jadi segala persiapan dilakukan oleh saya dan Ayu. Pemilihan tema serta persediaan dulang-dulang hantaran juga dibuat sendiri oleh Ayu. Kami mahu jimatkan kos kerana lepas nikah nanti banyak lagi urusan lain menanti," tambah Radhi lega kerana sudah menyediakan bajet yang secukupnya untuk mas kahwin dan wang hantaran kepada bakal isteri.

Bercerita tentang perkembangan kariernya, ketika dihubungi, Radhi sedang berada di lokasi penggambaran sebuah drama berjudul Oh, My God! di Puncak Alam, Selangor.

"Selain nyanyian, saya ada berlakon. Saya juga terlibat dengan program Singing & Sharing bersama Persatuan Pengasih Malaysia. Tujuannya untuk berkongsi pengalaman dengan generasi baharu, ibu bapa serta pelajar sekolah," jelas Radhi yang menyifatkan perkongsian pengalaman sebagai satu bentuk terapi buatnya.

Dalam masa terdekat, Radhi bersama bakal isterinya Ayu juga merancang mengeluarkan jenama pakaian sendiri bawah label OAG.

"Setakat ini, saya lihat Ayu sudah matang dan memahami haluan karier saya. Insya-Allah kami akan sama-sama mencari kehidupan yang lebih baik," jelas Radhi yang merasa tenang kerana niat untuk kembali berumahtangga semakin menjadi realiti.
Previous Post Next Post