Sharnaaz selamat daripada bencana

Langkah-langkah keselamatan sudah diambil sebaik mungkin. Bagaimanapun siapa dapat menjangka perkara buruk bakal berlaku. Inilah detik mencemaskan yang dilalui pengarah Along Kamaluddin ketika mengarahkan telefilem Rumah Buat Ibu terbitan Enuja Productions Sdn Bhd yang akan disiarkan sempena Hari Ibu di TV9.

Ketika itu Along sedang mengarahkan babak Sharnaaz sebagai Karim yang sedang menyiapkan bumbung rumah baru untuk ibunya. Bekas isterinya, Nadia (El Faeza Ul Haq) datang bertemunya menyebabkan Karim pergi ke arahnya. Ketika berjalan itulah dia tersilap langkah apabila palang yang dipijak patah membuatkan dia hampir terjatuh ke bawah dari ketinggian lebih tiga meter!


ALONG, Zainuddin, Normah dan Sharnaaz sedang berbincang mengenai skrip.

“Nasib Sharnaaz tak terjatuh. Sebaik dia hilang daripada skrin, perasaan saya jadi risau. Inilah yang dikatakan benda-benda yang tak dijangka. Apapun ini perkara biasa kerana kerap juga saya alami perkara sebegini. Biarpun langkah sewajarnya sudah diambil, kejadian ini susah nak dielakkan,” katanya yang bersyukur tiada kejadian buruk berlaku ketika penggambaran.




Selain berdepan kejadian ini, Along juga berdepan masalah cuaca yang panas terik dan jerubu membuatkan penggambaran di sekitar Hulu Langat dan Kuala Lumpur itu begitu mencabar.


NORMAH dan Sharnaaz diberi penerangan oleh Along untuk babak yang dilakonkan.


“Kepanasan yang dilalui ketika ini memang lain daripada sebelumnya. Saya sendiri tak tahan dan kena pakai topi. Namun saya puji Sharnaaz kerana sanggup melakonkan watak ini dan berada di tengah bahang panas. Kalau pelakon lain, mungkin akan merungut-rungut tak tahan,” katanya yang kali kedua bekerjasama dengan Enuja Productions selepas drama Miranda.


Tidak dinafikan kepanasan pada hari itu sangat mencengkam kulit. Bagaimanapun ia seolah-olah tidak menjadi kudis buat Along, pelakon serta kru yang tetap bekerja seperti biasa. Segala keperitan dilalui dengan tabah demi menyiapkan telefilem ini.

Sebagai pengarah yang berpengalaman, Along cuba memberikan sentuhan terbaik dalam drama ini. Apatah lagi ia mempunyai mesej tersendiri dan cuba membawa nilai positif kepada penonton.

“Saya tak ubah langsung skripnya tapi buat penambahan untuk memantapkan lagi cerita ini. Saya lebih ‘highlight’ kepada penghayatan dan karakter pelakon kerana ini sebuah drama berat. Saya tonjolkan kesedihan watak seperti Nadia yang terpaksa minta cerai daripada suami kerana ibunya nak dia kahwin dengan orang lain yang bukan kehendaknya.

“Elemen sedih yang ditonjolkan ini pasti dapat meninggalkan kesan kepada penonton. Jiwa mereka lebih dekat dengan konsep begini,” katanya yang sudah mengarahkan pelbagai drama antaranya Menjinak Ombak yang mendapat sambutan baik dari penonton.

Along berkata, pemilihan pelakon yang bagus turut membantu melancarkan perjalanan penggambaran ini kerana dia tidak perlu banyak menghabiskan masa membentuk mereka.

“Ini pengalaman kedua saya bekerja dengan Sharnaaz selepas drama Mira Sofea. Sepanjang bekerja dengannya, saya mendapati dia seorang yang berdedikasi dan komited dengan kerjanya. Waktunya juga tepat. Dia juga tak pernah menimbulkan masalah di lokasi.

“Jika dia berdepan masalah di luar saya tak pastilah tapi komitmen yang ditunjukkan sangat bagus. Sharnaaz seorang yang rajin bertanya sekiranya tak pasti. Dia boleh bawa watak seorang bapa dengan baik dan saya hanya perlu ‘guide’ pada perkara-perkara tertentu.

“Hanya Faeza perlu memperbaiki beberapa kelemahan kecil seperti penghayatan watak. Keseluruhannya dia berjaya menunjukkan lakonan yang memuaskan hati,” katanya.


ALONG (tengah), Zainuddin (sebelah kanannya) serta pelakon dan kru telefilem Rumah Buat Ibu turut berkongsi kesedihan dengan kehilangan pesawat MAS MH370.

Along berbangga kerana setakat ini drama arahannya sering mendapat sambutan baik daripada kalangan penonton. Terbaru, dia sedang menyiapkan drama untuk Hari Bapa pula terbitan sebuah produksi lain untuk stesen yang sama.

Bagi penerbitnya, Zainuddin Mohd Ismail, produksi mereka sentiasa tampil dengan drama bercorak kemasyarakatan. Dia mahu mendidik masyarakat menggunakan medium seni.

“Cerita ini sememangnya bawa pengajaran dan mesej kepada masyarakat. Elemen di dalamnya pernah berlaku dalam realiti kehidupan sebenar dan bukan rekaan. Alhamdulillah ramai penonton yang suka dengan resipi ini menerusi drama-drama terdahulu.

“Saya juga bersyukur kerana dapat menggunakan khidmat kak Normah Damanhuri untuk telefilem ini. Dia diakui antara pelakon terbaik dan lakonannya sering meninggalkan kesan terhadap penonton,” ­katanya.


NORMAH sedang disiapkan untuk penggambaran manakala Sharnaaz cuba menghayati karakter yang bakal dilakonkan.


Sinopsis

Rumah Buat Ibu mengisahkan mengenai Karim yang baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah. Dia dihukum penjara selama lima tahun tetapi dipendekkan kerana berkelakuan baik. Karim sebenarnya terbabit dengan dadah kerana desakan keluarga isterinya yang menghinanya kerana susah.

Karim pulang ke kampung untuk mencari ibunya, Mak Senah. Dia terkejut apabila rumah ibunya sudah musnah dalam kebakaran. Namun dia lega kerana orang kampung telah menghantar Mak Senah ke rumah kebajikan orang tua kerana tiada waris menjaganya.

Karim menemui Mak Senah dan berjanji untuk mendirikan semula sebuah rumah baru. Bagaimanapun kehadirannya tidak disenangi oleh penduduk kampung. Mak Senah pula tinggal sebatang kara selepas anaknya dipenjara. Dia tidak tahu anaknya tunggalnya terbabit dengan dadah. Orang kampung memandangnya dengan penuh hina. Mujurlah dia berjaya menyelamatkan diri ketika rumahnya terbakar.

Sementara itu bekas isterinya Nadia masih sayangkan Karim, tetapi tidak mampu untuk mempertahankan cintanya kerana keluarga Nadia inginkan dia berkahwin dengan lelaki kaya. Nadia juga terpaksa merahsiakan perceraiannya daripada Mak Senah dan dia berkahwin dengan seorang usahawan berjaya.
Previous Post Next Post