Sherry dan Zulin Dua-dua gila-gila



SEKALIPUN melawak, Sherry dan Zulin akan pastikan tiada perkara sensitif seperti perkauman, agama dan politik yang akan disentuh.

NAMA Sherry al-Hadad dan Zulin Aziz mungkin kedengaran agak asing dalam industri hiburan negara. Tidak keterlaluan jika ada yang masih tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik dua nama itu.

Melihat wajah Sherry, pasti ada yang teringat kelibatnya dalam drama Sutun yang popular satu masa dahulu. Zulin pula, bakatnya dicungkil menerusi program Pilih Kasih.

Biarpun masing-masing sudah lebih lima tahun berada dalam industri hiburan, cuma baru sekarang bahang kehangatan mereka dirasai.

Gaya spontan mereka di atas pentas dengan jenaka bersahaja acap kali membuatkan penonton tergelak besar.

Sungguhpun tampil bergandingan, kedua-dua graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini bukanlah hadir sebagai artis duo secara azali.




Cuma mungkin elemen keserasian yang membuatkan peluang sering diberikan kepada dua bakat ini.

Jika diimbas kembali momen mereka sewaktu Anugerah Skrin tahun lalu, penonton pasti tergelak sakan melayan telatah mereka.

Masakan tidak, perangai gila-gila Sherry yang disulam dengan gaya Zulin meniru suara Datuk Siti Nurhaliza sudah cukup membuatkan Stadium Malawati, Shah Alam gamat seketika.

Tidak terhenti di situ, sekali lagi sewaktu Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur baru-baru ini, dua pelakon itu diangkat sebagai pengacara majlis berkenaan.

Sejak itu, pintu rezeki mereka tidak putus-putus. Terbaru, mereka sekali lagi berkolaborasi dalam segmen Diva AM Krew menerusi saluran radio Hot FM.

Sensasi Bintang mendapatkan reaksi dua pelakon ini untuk berkongsi cerita mengenai keserasian dan perjalanan karier yang mereka garap bersama.

Sensasi Bintang: Bukan mudah untuk melaksanakan sesuatu tugasan secara bergandingan. Bagaimana kalian mewujudkan rasa keserasian ketika beraksi bersama di atas pentas?

SHERRY (S): Kami sebenarnya dah lama kenal dan berkawan iaitu sejak zaman belajar di Aswara lagi. Tapi ketika itu, saya merupakan tutor kepada Zulin. Jadi masing-masing dah tahu kelebihan masing-masing. Apabila hubungan makin rapat, tak perlu bincang, pandang mata dah tahu apa yang perlu dibuat. Saling memahami.

ZULIN (Z): Kami jadi semakin rapat sewaktu sama-sama berlakon dalam drama Misiku Kuza. Ketika itulah perangai masing-masing jadi gila-gila. Apabila dah selalu bersama, kita makin kenal orang itu. Itu yang boleh spontan sahaja. Apa yang penting kena percaya antara satu sama lain.

Jika di luar, adakah perwatakan kalian memang jenis orang yang suka buat lawak?

S: Realitinya, perangai saya memang gila-gila. Tapi tengok tempat juga. Apabila orang serius, saya pun serius.

Z: Kalau dengan orang yang baru saya kenal saya tak berapa nak 'ting-tong' sangat. Tapi saya jenis yang mudah mesra dengan orang. Bila dah bergaul mulalah mulut melalut.

Dalam persembahan lawak, tak semua perkara yang kita lakukan orang akan suka. Apakah perkara yang paling kalian takutkan sewaktu melawak?

S: Kalau di radio, orang tak nampak ekspresi muka kita. Itu yang kadang-kadang saya tertanya-tanya apakah yang saya buat itu kelakar atau tidak. Sebab kita tak dapat respons secara langsung. Berbeza sewaktu mengacara atau beraksi di atas pentas, kita dapat dengar suara orang ketawa.

Z: Perkara yang paling saya titik beratkan ialah sensitiviti, sebab itu kalau melawak pun saya akan pastikan saya tak akan sentuh hal berkaitan agama, perkauman atau politik.

Kalian sebenarnya mahu dikenali sebagai pelakon atau pelawak?

S: Sebenarnya saya nak orang kenal sebagai pelakon sebab itu yang saya impikan sejak kecil lagi. Cuma kalau sudah rezeki itu tertulis dalam pengacaraan atau komedi, saya akan buat yang terbaik.

Z: Saya masuk dalam industri ini sebagai pelakon. Melawak ini satu benda baharu buat saya. Tak sangka pula lawak yang selalu saya buat dengan kawan-kawan dan ahli keluarga boleh jadi satu kerja pula. Kalau dah tertulis apa salahnya. Itu saya anggap sebagai rezeki.

Dalam tempoh lima tahun lagi, ke manakah sasaran kalian dalam industri hiburan?

S: Tengok diri depan cermin (ketawa). Gurau sahaja. Sudah pasti saya nak mengembangkan bakat lebih-lebih lagi dalam bidang perfileman dan teater.

Z: Cita-cita nak jadi seorang pengarah. Sebab kalau dah kahwin nanti, saya ada perancangan untuk bekerja di belakang tabir pula, jadi pengarah drama.

Jika ditanya mengenai pasangan hidup pula, adakah kalian sukakan lelaki yang mempunyai karakter yang sama macam diri kalian?

S: Saya suka buat kelakar, tapi kalau nak pasangan hidup, saya nak yang nampak 'abang-abang', lelaki yang tenang sahaja. Kalau nak buat lawak pun sekali-sekala. Takut pula nanti anak pun jadi gila-gila.

Z: Ada ke lelaki nak? (gelak) Sudahlah terkangkang-kangkang (beraksi) kat atas pentas. Tapi secara jujur, saya tak suka lelaki yang banyak cakap.
Previous Post Next Post