Shiha Mahu tambah berat badan


BAKAL tampil dengan single baharu, Halusinasi.

JIKA pergi ke Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, jangan asyik nak membeli-belah sahaja. Sesekali cubalah ke tingkat lapan untuk membina stamina kerana di situ terdapat gimnasium yang serba lengkap dengan peralatan yang diimport dari Itali dan Amerika Syarikat.

Salah seorang yang sering berkunjung ke situ adalah Nurshiha Mohd. Zikir, 27, peserta Mentor musim kelima yang juga protege kepada Datuk Sharifah Aini.

"Seminggu, hampir empat kali saya datang ke sini. Selalunya, pukul 2 petang dan saya akan buat latihan selama dua jam lebih dengan bantuan jurulatih Gillian atau sendirian.

"Saya pilih tempat ini sebab selesa dan yang penting tidak perlu berbaris panjang untuk menggunakan sesuatu peralatan kerana di sini terdapat pelbagai jenis peralatan," katanya yang memulakan aktiviti regangan dengan melakukan latihan menggunakan peralatan TRX.

Tambah Shiha, sebelum ini dia pernah menyertai gimnasium di tempat lain tetapi menarik balik keahlian kerana di tempat itu terlalu ramai peserta.




Katanya, jika orang lain melakukan latihan di gimnasium untuk mengurangkan berat badan, dia pula mahu membina dan menambah berat badan. Selepas menyertai gimnasium sejak beberapa bulan lalu, jelas Shiha, berat badannya naik satu kilogram (kg) iaitu daripada 45 kg kepada 46 kg.

"Tak semestinya orang kurus tidak boleh melakukan latihan di gimnasium. Saya buat latihan sebab nak lengan nampak keras tetapi tidaklah sampai berotot. Sebab itulah, kalau angkat berat pun saya ambil yang ringan.

"Saya mahu bahagian lengan atau paha nampak padat supaya tidak menggeleber tetapi tidaklah sampai nampak berotot macam ahli bina badan," katanya terus terang.

Oleh kerana Shiha puas hati dengan kemudahan dan pakej yang disediakan di gimnasium tersebut, dia terus mendaftar sebagai ahli untuk tempoh dua tahun.

Katanya, semua jurulatih yang membantu ahli adalah yang bertauliah dan selain itu sesiapa yang memerlukan khidmat nasihat tentang nutrisi juga akan dibantu.

"Bayaran di sini tidak mahal kerana saya telah buat perbandingan dengan beberapa gimnasium sebelum menyertainya. Di sini, ada beberapa pakej dan khidmat nasihat tentang pemakanan.

"Bercerita tentang bab makanan, setiap hari saya mesti makan nasi. Sebab itulah, saya tidak boleh diet macam orang lain," ujarnya yang tetap mengambil berat tentang soal makanan.
Previous Post Next Post