Syanie akhiri zaman janda


Syanie dan Nadi Putera Mohd. Zainol pada majlis akad nikah mereka di sebuah hotel di Pantai Chenang, Langkawi, Kedah, semalam.

LANGKAWI 1 Mac - Pelakon dan pelawak, Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham, 41, sah bergelar isteri kepada Nadi Putera Mohd. Zainol, 27, dengan hanya sekali lafaz, pada majlis akad nikah yang berlangsung di sebuah hotel di Pantai Chenang dekat sini hari ini.

Pada majlis kira-kira pukul 11.10 pagi itu, pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa Syanie, Hisham Abdul Rahman, 63, dan turut hadir ialah Pegawai Agama Islam yang juga Kadi Daerah Langkawi, Sheikh Nor Ismadi Ismail.

Walaupun santai, majlis itu meriah dengan kehadiran rakan-rakan artis serta keluarga masing-masing.

Perkahwinan tersebut merupakan yang kedua bagi pasangan tersebut dan berbanding dengan Syanie yang tidak dikurniakan anak, Nadi mempunyai dua anak daripada perkahwinan terdahulu.

Syanie ketika ditemui bersyukur dan gembira kerana majlis tersebut berjalan dengan lancar dan kini sah menjadi isteri kepada Nadi yang dikenalinya sejak lapan tahun lalu.




"Saya gembira dengan perkahwinan ini. Nadi seorang yang suka membuat saya gembira, seorang yang gila-gila dan paling penting menerima saya seadanya.

"Kami pernah terputus hubungan satu ketika dahulu, tetapi Alhamdulillah bertemu semula dan perhubungan itu berterusan hinggalah ke hari dan saat ini," katanya yang menjanda selama 12 tahun.

Syanie berkata, sehingga kini mereka belum memutuskan lokasi berbulan madu kerana dia masih terikat dengan urusan kerja.

Majlis resepsi pasangan ini akan berlangsung di tepi pantai hotel tersebut kira-kira pukul 8 malam ini.

Kedua-duanya mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lepas.
Previous Post Next Post